MANILA, 9 Sept. - Pengawal Pantai Filipina (PCG) dan Republik Korea sedang memajukan cadangan penubuhan akademi keselamatan maritim untuk ASEAN yang bertujuan meningkatkan kerjasama serantau menerusi latihan dan pembangunan kapasiti, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam satu kenyataan pada Rabu, PCG memaklumkan Ketua Pengarah bagi Hal Ehwal ASEAN dan Asia Tenggara di Kementerian Luar Republik Korea Kwon Jae-Hwan bertemu Komandan PCG Laksamana Ronnie Gil L Gavan semasa kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Nasional PCG pada Selasa.
Pertemuan itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai kepentingan bersama serta meneroka cara untuk mengukuhkan lagi kerjasama maritim.
Antara perkara yang dibincangkan ialah Akademi Keselamatan Maritim Korea-ASEAN (KAMSA), cadangan yang dikemukakan oleh Republik Korea (ROK) menerusi Pengawal Pantai Korea dengan PCG sebagai pencadang bersama.
KAMSA bertujuan meningkatkan keselamatan maritim ASEAN menerusi latihan, pembangunan kapasiti dan pertukaran pengetahuan.
PCG sebelum ini membentangkan cadangan KAMSA pada Mesyuarat Kumpulan Pakar Teknikal Forum Pengawal Pantai ASEAN dan Mesyuarat Peringkat Tinggi pada Mei dan Jun 2026, dengan agensi yang mengambil bahagian menyatakan hasrat untuk mengemukakan cadangan itu kepada pihak berkuasa masing-masing untuk dipertimbangkan.
Gavan menyambut baik kunjungan itu sebagai peluang untuk memajukan inisiatif berkenaan.
"Ketua Pengarah Kwon, kunjungan anda bukan sekadar kunjungan hormat. Ia merupakan peluang untuk menilai kemajuan yang telah dicapai dan membincangkan bagaimana kita dapat meneruskan usaha ini," kata Gavan.
Pertemuan itu menggariskan perkongsian yang telah lama terjalin antara Manila dan Seoul serta menyumbang kepada usaha memperkukuh kerjasama praktikal dalam kalangan agensi penguatkuasaan undang-undang maritim dan agensi pengawal pantai ASEAN. - ©BERNAMA