HYDERABAD, 12 Sept. - Presiden Republik Islam Iran Masoud Pezeshkian, yang kini di New Delhi bagi menghadiri sidang kemuncak BRICS, mencadangkan penubuhan syarikat insurans semula kumpulan itu dengan modal permulaan AS$10 bilion.
Beliau mengutarakan idea itu dalam ucapan di Forum Perniagaan BRICS pada Jumaat untuk menampung risiko projek infrastruktur dan tenaga utama serta meningkatkan keyakinan sektor swasta, menurut video yang disiarkan oleh Kedutaan Iran di X.
Pezeshkian turut menggesa penggunaan mata wang negara digalakkan untuk pembayaran perdagangan dalam kalangan ahli BRICS.
Beliau berkata "memandangkan sistem kewangan semasa terdedah pada kejutan politik disebabkan penumpuannya pada bilangan mata wang yang terhad", Bank Pembangunan Baharu, yang ditubuhkan oleh kumpulan negara BRICS, mesti menjadi enjin utama untuk membiayai projek infrastruktur dan tenaga di negara anggota menerusi saluran kredit khusus dan pembiayaan dalam mata wang tempatan.
Acara perniagaan itu dihadiri Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden Persekutuan Rusia Vladimir Putin.
Modi dalam ucapannya berkata perdagangan global boleh maju hanya Pezeshkian cadang BRICS wujud syarikat insurans semula dengan modal AS$10 bilionapabila laluan laut selamat, laluan bekalan dibuka dan pelaut selamat".
"Oleh itu, India ialah penyokong tegar kebebasan pelayaran dan keselamatan pelaut," katanya.
Pemimpin Republik India itu turut membangkitkan soal keselamatan perkapalan dalam pertemuan dua halanya dengan Pezeshkian ketika kedua-duanya membincangkan situasi konflik Asia Barat.
Modi "menegaskan keperluan untuk usaha berterusan demi memastikan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di rantau ini, menjaga kebebasan pelayaran dan perdagangan serta keselamatan dan kesejahteraan pelaut," menurut Kementerian Luar Republik India dalam kenyataan.
Sidang kemuncak BRICS berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di ibu negara Republik India. - ©BERNAMA