BEIJING, 8 Sept. - Platform 'E-dagang Jalan Sutera' menjadi pemangkin baharu kepada kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), selain membuka ruang baharu bagi menggalakkan pembangunan inklusif sektor e-dagang di peringkat global, menurut Kementerian Perdagangan China (MOFCOM).
MOFCOM dalam sidang media pada Isnin memaklumkan bahawa sepanjang 10 tahun lalu, platform itu berjaya membentuk rangkaian kerjasama yang meluas, termasuk menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai e-dagang antara China dengan 38 negara.
Platform berkenaan turut membantu mewujudkan hampir 200 pavilion negara secara fizikal dan dalam talian, sekali gus membolehkan puluhan ribu jenis produk berkualiti dari negara rakan kongsi memasuki pasaran China.
Selain itu, lebih 60 pusat bekalan produk di luar negara dikendalikan menerusi platform itu, sekali gus merancakkan perkembangan logistik rentas sempadan, pembayaran mudah alih dan sektor industri berkaitan.
Pegawai kanan MOFCOM Wang Pengfei berkata satu program bertemakan 'E-dagang Jalan Sutera' yang dianjurkan tahun lalu memperkenalkan 42 inisiatif kerjasama dan menarik penyertaan lebih 100 negara.
Platform itu juga membantu lebih 80,000 perusahaan kecil dan sederhana dari negara terlibat menjalankan urus niaga menerusinya, selain mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan. - ©BERNAMA