DUSSELDORF/BERLIN, 6 Sept. - Polis meneruskan gerakan memburu secara intensif seorang lelaki yang disyaki melakukan beberapa serangan sabotaj terhadap grid elektrik Republik Persekutuan Jerman, lapor Agensi Berita Jerman (DPA).
Gerakan itu dilancarkan susulan dua surat pengakuan yang dihantar kepada beberapa organisasi media termasuk DPA.
"Maklumat yang didedahkan dalam surat berkenaan jelas hanya diketahui oleh pelaku," kata Menteri Dalam Negeri Alexander Dobrindt.
Mengenai kemungkinan motif serangan, Dobrindt berkata terdapat kebarangkalian tinggi bahawa tindakan itu merupakan 'keganasan iklim' yang dilakukan seorang individu secara bersendirian.
Satu daripada surat berkenaan menyatakan : "Menjana elektrik daripada bahan api fosil adalah satu jenayah."
Insiden itu tertumpu di negeri North Rhine-Westphalia, Brandenburg dan yang terbaharu Saxony, tiga negeri yang masih menjalankan aktiviti perlombongan lignit dan menggunakannya untuk menjana tenaga elektrik.
Polis dan pendakwa raya di Brandenburg serta North Rhine-Westphalia pada petang Sabtu mengeluarkan notis orang dikehendaki secara bersama dengan menyiarkan dua gambar suspek berusia 48 tahun itu serta meminta orang ramai menyalurkan maklumat.
Pada Jumaat, polis menemukan bahan letupan di kediaman suspek di Gevelsberg, North Rhine - Westphalia. Kemudian pada petang hari sama, unit operasi khas menyerbu sebuah lori di kawasan hutan berhampiran Niederzier, kira-kira 100 kilometer dari lokasi berkenaan, yang dipercayai telah diubah suai menjadi kenderaan rekreasi. Bagaimanapun, suspek tidak ditemukan.
Beberapa cubaan sabotaj yang menyasarkan bekalan elektrik dilaporkan berlaku minggu ini. Polis sedang menjalankan siasatan atas beberapa kesalahan yang disyaki dilakukan, termasuk penubuhan sebuah organisasi pengganas. - ©BERNAMA