Presiden Hungary buka laluan kepada penamatan jawatannya sendiri

19 Jul 2026 - 9:40am

BUDAPEST, 19 Julai. - Selepas beberapa hari teragak-agak, Presiden Hungary Tamás Sulyok, sekutu politik bekas Perdana Menteri Viktor Orbán yang tersingkir dalam pilihan raya April lepas, membuka laluan kepada pindaan perlembagaan yang akan menamatkan jawatannya, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Sulyok mengumumkan bahawa beliau akan menandatangani pindaan perlembagaan itu, sekali gus membolehkannya dikuat kuasa.

Selepas Parlimen meluluskan pindaan berkenaan Isnin lepas, Perdana Menteri baharu Péter Magyar memberi tempoh lima hari kepada ketua negara itu untuk menandatanganinya atau berdepan prosiding pemecatan.

Sehingga ketua negara baharu dipilih dalam tempoh 30 hari, Speaker Parlimen Ágnes Forsthoffer akan menjalankan tugas dan kuasa presiden.

Di Hungary, ketua negara dipilih oleh Parlimen.

Magyar mengesahkan bahawa Sulyok telah menandatangani pindaan perlembagaan itu dan jawatan presiden akan kosong mulai Isnin.

Pindaan berkenaan kini membolehkan pelaksanaan reformasi politik yang menyeluruh.

“Melalui keputusan ini, kami mengembalikan kepada rakyat Hungary sesuatu yang cuba dirampas rejim Orbán sejak sekian lama, iaitu jaminan bahawa kuasa mempunyai batas, harta awam boleh diperoleh semula dan negara sekali lagi dapat berkhidmat kepada rakyatnya, rakyat Hungary yang bebas,” tulis Magyar di Facebook.

Sulyok menegaskan bahawa keputusan Parlimen untuk menyingkirkannya bercanggah dengan perlembagaan, namun beliau tidak melihat sebarang saluran undang-undang untuk mencabarnya.

Pakar sebelum ini berkata Mahkamah Perlembagaan hanya boleh membantah keputusan Parlimen itu atas alasan prosedur dan bukannya dari segi kandungannya.

Dalam ucapan video di Facebook, Sulyok berkata setiap ketua negara di Hungary kini “bergantung kepada belas ihsan badan eksekutif dan pihak politik” serta tidak lagi mempunyai “fungsi semak dan imbang”. - ©BERNAMA