NEW DELHI, 4 Sept. - Agensi angkasa lepas kebangsaan Republik India pada Jumaat melancarkan roket yang membawa satelit pengimejan bumi dan berjaya menempatkannya di orbit, lapor Anadolu Ajansi.
"Misi berjaya! GSLV-F17 berjaya menyempurnakan misinya dengan menempatkan EOS-05 di orbit yang ditetapkan," menurut Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India (ISRO) menerusi hantaran di platform X.
Pelancaran itu dilakukan dari Pusat Angkasa Satish Dhawan di selatan Republik India pada 2.55 pagi waktu tempatan (2125 GMT Khamis).
GSLV-F17 merupakan penerbangan ke-19 Kenderaan Pelancar Satelit Geosegerak India, manakala EOS-05 ialah kapal angkasa pencerapan Bumi berteknologi terkini, menurut agensi angkasa lepas itu.
Menurut ISRO, EOS-05 merupakan satelit pengimejan pertama Republik India yang direka untuk beroperasi dari orbit geosegerak.
Susulan kejayaan pelancaran pada Jumaat, agensi angkasa lepas itu menyasarkan enam lagi pelancaran tahun ini, kata Pengerusi ISRO V. Narayanan kepada pemberita. - ©BERNAMA