BERLIN, 20 Okt. - Republik Persekutuan Jerman terbuka kepada pelaburan dan perniagaan, kata Canselor Friedrich Merz kepada ahli perniagaan pada Isnin ketika merasmikan sidang kemuncak pelaburan pertama anjuran kerajaannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Berucap pada acara Invest in Germany yang berlangsung di sebuah loji janakuasa yang tidak lagi beroperasi di Berlin, Merz menyifatkan penganjuran itu sebagai permulaan era baharu pelaburan di negara berkenaan, sambil menegaskan kedudukan Republik Persekutuan Jerman sebagai rakan kongsi yang stabil dan boleh dipercayai.
"Jerman terbuka kepada pelaburan, Jerman terbuka kepada perniagaan dan Jerman bersedia untuk berkembang pada kadar lebih pantas," kata beliau.
Merz berkata Republik Persekutuan Jerman kini sedang melalui perubahan asas dalam bidang ekonomi dan teknologi yang didorong oleh Kecerdasan Buatan (AI).
Beliau menyifatkan program pelaburan besar-besaran kerajaan dalam sektor pertahanan, infrastruktur dan langkah menangani perubahan iklim sebagai usaha pemodenan terbesar dalam sejarah terkini Republik Persekutuan Jerman.
Menurutnya, usaha turut dilaksanakan di peringkat Kesatuan Eropah (EU) bagi memperkukuh pasaran tunggal blok itu.
Merz turut menegaskan semula komitmen kerajaannya untuk mengurangkan kerenah birokrasi, mendigitalkan pentadbiran awam dan melaksanakan pembaharuan sistem kebajikan sosial.
Beliau berkata sidang kemuncak itu merupakan pelawaan kepada para pelabur untuk turut serta dalam usaha pemodenan negara berkenaan.
Sidang kemuncak itu akan diteruskan pada Selasa di sebuah sekolah perniagaan swasta. - ©BERNAMA