Republik Rakyat China hantar 66 Atlet ke Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026

20 Okt 2026 - 9:26am

BEIJING, Selasa, 20 Oktober. - Seramai 66 atlet akan mewakili Republik Rakyat China pada Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026 di Senegal, dengan menyertai 49 acara dalam 21 jenis sukan sepanjang temasya yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 13 November ini.

Kontinjen Republik Rakyat China terdiri daripada 121 anggota, termasuk 16 atlet lelaki dan 50 atlet perempuan yang akan beraksi dalam pelbagai acara, antaranya Olahraga, Renang dan Ping Pong.

Ketua Misi China, Zhang Jiasheng, yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Am Sukan China, berkata para atlet perlu mengekalkan keyakinan diri, ketenangan dan sikap positif ketika menghadapi pertandingan.

“Dengan hanya tinggal 11 hari sebelum pembukaan temasya, kita perlu yakin pada diri sendiri dan bertekad untuk melakukan yang terbaik. Saya berharap semua atlet akan kekal tenang, mengekalkan pemikiran positif dan menunjukkan prestasi terbaik dalam pertandingan,” katanya.

“Sementara itu, pemain Ping Pong China, Yao Ruixuan, melahirkan rasa teruja dan bersyukur kerana berpeluang mewakili negaranya pada temasya berkenaan.

“Saya sangat teruja dan bersyukur atas peluang untuk mewakili negara. Matlamat saya adalah untuk meraih gelaran juara, dan saya juga berharap dapat berkenalan serta menjalin hubungan dengan atlet dari negara dan wilayah lain,” katanya.

Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026 merupakan edisi keempat Sukan Olimpik Remaja Musim Panas yang dijangka menghimpunkan kira-kira 2,700 atlet untuk bertanding dalam 25 jenis sukan.

Temasya berkenaan akan berlangsung di Dakar, Diamniadio dan Saly, Senegal, sekali gus menjadi acara Olimpik pertama yang diadakan di bumi Afrika. - ©XINHUA