REPUBLIK SINGAPURA, 20 Julai. - Republik Singapura memperkenalkan garis panduan baharu mengenai ketelusan chatbot Kecerdasan Buatan Generatif (GenAI) bagi membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bermaklumat mengenai perkhidmatan yang digunakan serta data yang ingin dikongsi.
Dikenali sebagai Garis Panduan Ketelusan untuk Chatbot GenAI, inisiatif itu bertujuan menyeragamkan cara maklumat dikongsi dengan orang ramai serta mewujudkan ekosistem yang dipercayai agar pengguna dapat menggunakan GenAI dengan lebih yakin.
"Garis panduan ini menetapkan cara pengendali Chatbot GenAI boleh menyediakan ketelusan yang bermakna kepada pengguna.
"Ia merangkumi jenis maklumat yang mungkin penting kepada pengguna serta cara maklumat itu boleh dikongsi secara jelas, mudah diakses dan tepat pada masanya," menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut IMDA, garis panduan itu menggesa organisasi menyediakan Kad Maklumat Chatbot, seperti halaman maklumat khusus atau dokumen pendedahan yang membolehkan pengguna memperoleh maklumat penting mengenai Chatbot yang mereka gunakan di satu tempat.
"Garis panduan ini menggalakkan pengendali chatbot menyediakan maklumat yang relevan, mudah diakses dan tepat pada masanya menerusi 'Kad Maklumat Chatbot'.
"Ini akan memudahkan penggunaan chatbot GenAI secara selamat dan bertanggungjawab dengan membolehkan pengguna membuat keputusan yang lebih bermaklumat, termasuk mengenai jenis data yang ingin mereka kongsikan dengan perkhidmatan berkenaan," menurut kenyataan itu.
IMDA berkata garis panduan ketelusan itu merupakan satu langkah penting dalam usaha Singapura membangunkan ekosistem AI yang dipercayai.
"Seiring AI berkembang ke sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan kewangan, IMDA akan bekerjasama dengan pengawal selia sektor dan rakan strategik lain untuk memperluas serta menyesuaikan prinsip ini bagi memenuhi keperluan ketelusan yang khusus mengikut sektor," katanya.
IMDA berkata garis panduan baharu itu dilancarkan oleh Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) Singapura Josephine Teo sempena pembukaan Festival Data Singapura (SDF) yang julung kali diadakan di republik itu.
IMDA merupakan agensi yang menerajui usaha transformasi digital Republik Singapura dengan membangunkan asas infrastruktur digital negara serta memacu inovasi digital ke arah mewujudkan tenaga kerja digital yang dinamik dan masyarakat digital yang selamat, inklusif serta mampu berkembang dalam landskap digital yang pesat berubah. - ©BERNAMA