Republik Sosialis Viet Nam sasar pembinaan kereta api berkelajuan tinggi utara-selatan bermula Disember 2027

9 Sep 2026 - 9:33am

HANOI, 9 Sept. - Kementerian Pembinaan Republik Sosialis Viet Nam menyasarkan pembinaan projek kereta api berkelajuan tinggi Utara-Selatan dimulakan pada Disember 2027, lapor Xinhua memetik laporan Agensi Berita Vietnam pada Rabu.

Prosedur sedang dijalankan bagi memilih perunding untuk peringkat penyediaan pelaburan projek berkenaan, menurut laporan itu.

Bagi mempercepatkan kemajuan projek, kementerian berkenaan meminta lembaga pengurusan projek menyediakan pelan pelaksanaan terperinci dengan menetapkan secara jelas skop kerja serta tempoh masa bagi setiap tugasan.

Projek kereta api berkelajuan tinggi Utara-Selatan itu akan mempunyai panjang keseluruhan kira-kira 1,541 kilometer, merentasi 15 wilayah dan bandar yang ditadbir secara berpusat. Laluan itu akan bermula di Stesen Ngoc Hoi di Hanoi dan berakhir di Stesen Thu Thiem di hab selatan, Ho Chi Minh City.

Kereta api itu direka untuk beroperasi pada kelajuan 350 kilometer sejam, dengan jumlah pelaburan awal dianggarkan kira-kira USD67.34 bilion. - ©BERNAMA