HYDERABAD, 12 Sept. - Rizab mata wang asing Republik India mencatatkan peningkatan rekod sebanyak USD44.9 bilion pada minggu berakhir 4 September, menurut data bank pusat yang dikeluarkan pada Jumaat.
Rizab berkenaan, yang didorong oleh deposit mata wang asing dan skim aliran masuk modal baru-baru ini oleh Reserve Bank of India (RBI), melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu USD785.7 bilion.
Rizab mata wang asing RBI kini telah meningkat selama 10 minggu berturut-turut.
Aset mata wang asingnya melonjak USD47.4 bilion kepada USD648.1 bilion, manakala nilai pegangan emas susut hampir USD2.6 bilion kepada USD113.8 bilion dalam minggu berakhir 4 September.
Aliran masuk menerusi deposit berjangka bank bukan pemastautin mata wang asing (FCNR), pinjaman komersial luar negeri (ECB) dan pinjaman mata wang asing luar negara (OFCB) di bawah kemudahan pertukaran RBI yang diperkenalkan pada 8 Jun menerima sambutan menggalakkan.
Penerimaan bank FCNR melebihi USD127.2 bilion, OFCB menarik USD5.2 bilion dan aliran masuk ECB berjumlah hampir USD3.9 bilion antara Jun hingga Ogos, menurut kenyataan media RBI pada Rabu.
Aliran masuk itu telah menyokong kejatuhan nilai rupee, yang ditutup pada 95.57 berbanding dolar AS pada Jumaat.
Skim FCNR ditutup pada 31 Ogos, manakala langkah ECB dan OFCB akan kekal dibuka sehingga akhir tahun ini. - ©BERNAMA