RIO DE JANEIRO, 11 Sept. - Sekurang-kurangnya tiga orang maut pada Khamis apabila sebuah pesawat kecil terhempas di Agua Boa, negeri Mato Grosso di tengah-barat Brazil, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.
Tiga mayat ditemukan rentung di antara bangkai pesawat dan masih belum dikenal pasti. Mayat berkenaan dibawa untuk pemeriksaan forensik.
Nahas itu berlaku pada sebelah pagi di sebuah kawasan luar bandar kira-kira 18 kilometer (km) dari kawasan bandar Agua Boa dan 730 km dari Cuiaba, ibu negeri Mato Grosso. Pesawat itu terbakar sebaik sahaja terhempas dan musnah.
Pasukan bomba dipanggil ke lokasi kejadian kira-kira 8.50 pagi waktu tempatan dan menggunakan kira-kira 4,000 liter air untuk memadamkan kebakaran. Polis tentera turut dikerahkan ke lokasi.
Tempat pesawat itu berlepas dan destinasinya masih belum diketahui, manakala punca nahas masih dalam siasatan. - ©BERNAMA