Singapura terus berdepan ancaman keganasan tinggi

10 Sep 2026 - 10:04am

SINGAPURA, 10 Sept. - Singapura terus berdepan ancaman keganasan yang tinggi, dengan platform dalam talian menyumbang kepada proses radikalisasi khususnya dalam kalangan golongan muda, manakala konflik berterusan di Asia Barat turut meningkatkan kebimbangan keselamatan.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam Laporan Penilaian Ancaman Keganasan 2026 yang dikeluarkan pada Khamis berkata Singapura kekal sebagai sasaran menarik bagi elemen pengganas, manakala kemungkinan kepulangan pengganas asing ke Asia Tenggara meningkatkan ancaman keganasan di rantau ini.

“Di Asia Tenggara, ekstremisme agama masih berterusan, manakala naratif ekstremis ganas berhaluan kanan dan nihilistik juga semakin mendapat tempat serta dikaitkan dengan beberapa serangan baru-baru ini,” menurut laporan itu.

Menurut ISD, lapan rakyat Singapura ditahan atau dikenakan Perintah Sekatan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak Julai 2025.

Mereka terdiri daripada seorang individu yang didorong motif politik untuk mengangkat senjata bagi pihak Turkiye menentang Greece, serta tujuh lagi akibat pelbagai pengaruh ekstremis.

Laporan itu turut menyatakan permainan dalam talian dan media sosial mempercepat proses radikalisasi, khususnya dalam kalangan golongan muda menerusi pendedahan kepada kandungan ekstremis ganas.

“Permainan dalam talian juga boleh membolehkan simulasi serangan pengganas dan kejadian tembakan beramai-ramai. Fantasi keganasan boleh berkembang menjadi keinginan untuk melakukan keganasan di dunia sebenar dari semasa ke semasa,” menurut laporan itu. - ©BERNAMA