TOKYO, 23 Okt. - Syarikat telekomunikasi gergasi Jepun, KDDI, memohon maaf susulan kebakaran yang menjejaskan hampir 80 peratus kawasan perlindungan alam semula jadi di timur Mongolia awal bulan ini, selepas anak syarikatnya dilaporkan mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Xinhua yang memetik penyiar awam Jepun, NHK, pada Jumaat melaporkan bahawa kebakaran tercetus pada 8 Oktober di Kawasan Perlindungan Ketat Numrug, wilayah Dornod, sebelum merebak ke kawasan padang rumput yang luas.
Menurut agensi berita Mongolia, Montsame, kebakaran itu berjaya dikawal pada 12 Oktober dan dipadamkan sepenuhnya empat hari kemudian.
KDDI mengesahkan bahawa Ketua Mobicom, anak syarikatnya di Mongolia, Yasuhiro Ochi, bersama dua eksekutif lain berada di kawasan perlindungan berkenaan ketika kejadian berlaku.
Syarikat itu memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius kesan kebakaran terhadap alam sekitar Mongolia.
Pada 8 Oktober, lebih 10 individu termasuk beberapa warga Jepun memasuki kawasan perlindungan itu dengan menaiki lima kenderaan milik Mobicom.
Menurut laporan media tempatan, kebakaran dipercayai berpunca daripada sebuah kenderaan yang terbakar sebelum api merebak ke kawasan sekitarnya.
KDDI menjelaskan bahawa kumpulan berkenaan memasuki kawasan itu bagi menjalankan ujian rangkaian komunikasi 4G selepas memperoleh kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa.
Bagaimanapun, syarikat itu tidak memperincikan punca sebenar kebakaran.
Beberapa media Mongolia turut mempersoalkan tujuan sebenar kumpulan itu memasuki kawasan perlindungan berkenaan, termasuk kemungkinan mereka menjalankan aktiviti memburu atau menangkap spesies ikan terancam.
Menurut laporan media, pihak berkuasa Mongolia berikrar mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab serta menuntut pampasan atas kerosakan yang berlaku.
KDDI pula menegaskan bahawa pihaknya telah memaklumkan lawatan itu lebih awal kepada agensi keselamatan sempadan dan kumpulan berkenaan menggunakan laluan yang ditetapkan.
Syarikat itu turut mengekalkan pendirian bahawa lawatan itu bertujuan menjalankan ujian rangkaian 4G, namun enggan mengulas lanjut sementara menunggu hasil siasatan rasmi.
Sementara itu, data awal Kementerian Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Mongolia yang dikeluarkan pada Selasa menunjukkan kebakaran itu menjejaskan kira-kira 530,000 hektar kawasan, termasuk 470,000 hektar dalam rizab Numrug, bersamaan 79.8 peratus daripada keseluruhan keluasannya.
Kementerian kini menjalankan penilaian menyeluruh bagi menentukan tahap kerosakan ekologi dan alam sekitar akibat kebakaran terbabit. - ©BERNAMA