BOGOTA, 20 Okt. - Sekurang-kurangnya sembilan orang maut dalam kejadian tanah runtuh di sebuah lombong emas di kawasan perbandaran Santa Barbara de Iscuande, wilayah Narino, barat daya Colombia, menurut pihak berkuasa tempatan pada Isnin.
Pejabat Ombudsman Colombia menggesa kerajaan memberikan bantuan segera bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat mangsa, lapor Xinhua.
"Beberapa orang tertimbus akibat tanah runtuh ketika menjalankan aktiviti perlombongan.
“Berdasarkan laporan yang kami terima setakat ini, sembilan orang disahkan maut," kata Setiausaha Keamanan dan Hak Asasi Manusia wilayah itu, Alex Gonzalez, kepada media tempatan.
Pejabat Ombudsman turut memberi amaran bahawa situasi keselamatan dan ketenteraman awam yang kritikal di kawasan berkenaan menjejaskan usaha tindak balas kecemasan.
Justeru, pihaknya menggesa supaya sumber tenaga manusia, teknikal dan logistik digerakkan segera bagi membantu mangsa.
"Kami menggesa pihak berkuasa pusat dan tempatan menyediakan semua sumber tenaga manusia, teknikal dan logistik yang diperlukan dengan segera," menurut kenyataan pejabat itu yang menegaskan bahawa usaha menyelamatkan nyawa perlu diberi keutamaan.
Pejabat berkenaan turut meminta angkatan tentera menyediakan sokongan udara bagi operasi menyelamat dan membawa mangsa yang cedera, selain mengaktifkan rangkaian hospital bagi memastikan mereka yang terjejas menerima rawatan perubatan.
Pejabat Ombudsman menggesa Institut Perubatan Forensik Kebangsaan dikerahkan untuk mengenal pasti identiti mangsa yang terkorban serta memastikan pengurusan jenazah dilaksanakan secara bermaruah.
Agensi pengurusan risiko turut digesa menyelaras operasi mencari dan menyelamat serta penyaluran bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas. - ©BERNAMA