CHUKAI, 19 Okt. - Seekor tuntung sungai jantan ditemukan mati dipercayai akibat terjerat mata kail di Sungai Kemaman berhampiran Kampung Pasir Gajah, dekat sini, pagi semalam.
Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif Persatuan Pemuliharaan Tuntung Malaysia (TCS) Dr. Chen Pelf Nyok berkata tuntung seberat 15.8 kilogram dan berukuran 50 sentimeter panjang serta dianggarkan berusia 15 tahun itu ditemukan oleh Geng Tuntung, iaitu sebuah kumpulan komuniti yang terlibat dalam usaha pemuliharaan spesies berkenaan, pada 9.40 pagi.
Beliau berkata kejadian itu merupakan kes kedua kematian tuntung akibat peralatan menangkap ikan yang direkodkan persatuan pada tahun ini selepas kes pertama pada 29 Januari lepas.
"Spesies tuntung sungai mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk mencapai tempoh kematangan, justeru kehilangan seekor tuntung dewasa menjejaskan potensi pembiakan dan kelangsungan spesies itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Chen berkata usaha pemuliharaan tuntung termasuk melindungi telur dan membesarkan anak tuntung sebelum dilepaskan ke habitat semula jadi kini berdepan dengan ancaman akibat peralatan menangkap ikan yang ditinggalkan di sungai.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata TCS menyeru semua pengguna sungai supaya memeriksa peralatan menangkap ikan secara berkala serta membawa keluar dan melupuskan peralatan yang tidak boleh lagi digunakan dengan cara yang betul.
“Sungai bukan sekadar sumber rezeki manusia, tetapi juga habitat hidupan liar. Jangan sampai kelalaian kita meragut nyawa spesies yang sedang kita usahakan untuk selamatkan,” katanya. - ©BERNAMA