UNSC lulus resolusi tangani ancaman digital terhadap kanak-kanak dalam konflik

20 Okt 2026 - 9:23am

HAMILTON (Kanada), 20 Okt. - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin sebulat suara meluluskan resolusi bagi menangani penyalahgunaan teknologi digital bagi melakukan pelanggaran hak dan penderaan terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata, lapor Anadolu Ajansi.

Resolusi yang dirangka oleh Greece itu turut menekankan kepentingan meningkatkan literasi digital dalam kalangan kanak-kanak supaya mereka dapat mengenal pasti risiko dalam talian, sekali gus membantu mencegah pelanggaran hak sebelum ia berlaku.

Resolusi berkenaan menggesa negara anggota memperkukuh pematuhan di peringkat domestik terhadap kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa bagi menghentikan dan mencegah pelanggaran hak serta penderaan terhadap kanak-kanak, termasuk yang dilakukan, dipermudah atau diperluas melalui penggunaan teknologi digital.

Greece mempengerusikan Kumpulan Kerja Mengenai Kanak-Kanak dan Konflik Bersenjata pada 2025.

Berucap sebelum pengundian, Wakil Tetap Greece ke PBB, Aglaia Balta berkata Majlis Keselamatan tidak boleh terus berdiam diri terhadap penggunaan teknologi digital dalam pelanggaran hak yang serius.

"Persoalan di hadapan kita bukan sama ada Majlis Keselamatan perlu menangani dimensi digital dalam pelanggaran serius ini, tetapi sama ada kita mampu terus berdiam diri ketika pihak lain mengeksploitasinya," kata beliau.

Balta menegaskan bahawa resolusi itu memperkukuh kerangka sedia ada dengan memastikan semua pelanggaran hak dapat ditangani tanpa mengira kaedah yang digunakan.

"Perekrutan melalui telefon pintar tetap merupakan perekrutan. Mandat yang gagal mengenal pasti tempat bermulanya pelanggaran hak ialah mandat yang ketinggalan," katanya.

Menyifatkan resolusi itu sebagai langkah permulaan, Balta berkata usaha menangani ancaman berkenaan perlu terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi digital.

"Resolusi ini bukan menutup perbincangan mengenai isu mendesak ini, sebaliknya membuka lembaran baharu. Ia ibarat benih yang perlu terus berkembang ketika teknologi digital mengubah setiap aspek kehidupan manusia, khususnya kehidupan kanak-kanak.

"Tiga puluh tahun lalu, masyarakat antarabangsa bertekad memastikan kanak-kanak yang terperangkap dalam peperangan tidak lagi dipinggirkan. Hari ini, kita mesti memastikan mereka tidak pula hilang daripada perhatian dalam ruang digital," kata beliau. - ©BERNAMA