Wan Nur Azri rangkul emas ‘powerlifting’, lebur rekod kebangsaan empat kali

9 Sep 2026 - 9:27am

SHAH ALAM, 9 Sept. -  Atlet ‘powerlifting’ Kelantan Wan Nur Azri Wan Azman mempamerkan aksi luar biasa apabila meleburkan rekod kebangsaan sebanyak empat kali berturut-turut untuk memenangi pingat emas kategori melebihi 107 kilogram (kg) lelaki pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.

Dalam aksi di Selangor International Trade Centre  di sini, badang berusia 29 tahun itu memadam rekod  Mohd Fauzan Ramlan dari Sabah (171kg) menerusi angkatan 180kg pada percubaan pertama, sebelum memperbaharuinya dengan angkatan 190kg pada percubaan kedua dan 195kg pada percubaan ketiga.

Wan Nur Azri melengkapkan hari gemilangnya dengan mengangkat bebanan 200kg pada percubaan tambahan, sekali gus turut memadam rekod temasya 122kg dan meninggalkan pencabar terdekat dari Sabah, Maxmalcolm Symond yang meraih perak (145kg) serta Tan Pein Chuen dari Johor yang membawa pulang gangsa (130kg).

Namun, di sebalik kejayaan manis itu, atlet kelahiran Kota Bharu berkenaan mendedahkan beliau terpaksa bertarung dalam kesakitan di pentas pertandingan kerana mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanan.

"Sememangnya saya cukup gembira, cuma sekarang saya cedera di pergelangan tangan yang berlaku ketika latihan kira-kira sebulan sebelum Para SUKMA," katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis penyampaian pingat di sini hari ini.

Wan Nur Azri berkata kecederaan tersebut hampir meragut peluangnya, malah beliau mengakui berdepan detik cemas pada angkatan ketiga sebelum bangkit mengumpulkan kekuatan mental.

Kejayaan melakukan angkatan 200kg itu disifatkan amat bermakna buat Wan Nur Azri kerana ia menamatkan penantian kerja kerasnya selama sedekad sejak mula menceburi sukan berkenaan di bangku sekolah.

"Saya sudah lama impikan perkara ini. Akhirnya tercapai juga selepas 10 tahun," katanya yang sempat berseloroh mendedikasikan pencapaian bersejarah itu untuk ‘diri sendiri’ selepas mengharungi pelbagai siri kecederaan sepanjang kariernya.

Menyingkap pembabitannya dalam sukan itu, Wan Nur Azri berkata memanah menjadi pilihannya pada peringkat awal, namun akur beralih kepada ‘powerlifting’ selepas dipujuk keluarga yang akhirnya menjadi titik tolak kepada kegemilangannya.

Kejayaan manis meleburkan rekod kebangsaan sebanyak empat kali itu turut diraikan bersama jurulatihnya, Ma Hussein Mat Noh yang setia membimbing serta membentuk prestasinya sejak awal pembabitan. 

Atlet di bawah program podium berkenaan mengesahkan tiada lagi kejohanan antarabangsa untuknya tahun ini, namun beliau tetap memasang impian lebih besar untuk melangkah ke pentas tertinggi dunia, iaitu Sukan Paralimpik suatu hari nanti.  - ©BERNAMA