BEIJING, 23 Okt. - Sekurang-kurangnya 16 orang maut manakala 54 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 7.0 magnitud melanda Kaunti Baqen di Bandar Nagqu, Wilayah Autonomi Xizang, barat daya Republik Rakyat China pada 10.33 malam Khamis.
Susulan kejadian itu, Presiden Republik Rakyat China Xi Jinping mengarahkan supaya keutamaan diberikan kepada usaha mencari dan menyelamat individu yang hilang serta menyediakan rawatan segera kepada mangsa yang cedera.
Beliau turut mengarahkan supaya pemantauan dan sistem amaran awal diperkukuh, selain memastikan operasi menyelamat dilaksanakan secara saintifik dan berkesan serta langkah pencegahan diambil bagi mengurangkan risiko bencana susulan.
Xi berkata memandangkan kawasan yang dilanda gempa bumi itu terletak di tanah tinggi dengan suhu yang amat rendah, keutamaan perlu diberikan kepada penyaluran bantuan, pemindahan penduduk terjejas ke tempat selamat serta pemulihan infrastruktur yang rosak bagi menjamin keselamatan nyawa dan harta benda mereka.
Sementara itu, Perdana Menteri Republik Rakyat China Li Qiang pada hari yang sama turut mengarahkan agensi berkaitan, termasuk Kementerian Pengurusan Kecemasan dan Pentadbiran Gempa Bumi China, supaya mempertingkat pemantauan serta ramalan awal dan memperkukuh langkah pencegahan terhadap bencana susulan.
Pasukan petugas daripada agensi berkaitan telah dikerahkan ke kawasan terjejas, manakala operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan secara teratur. - ©BERNAMA