MENTERI Penyelaras bagi Dasar-dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan Kali Ke-45 pada Khamis, 9 Julai 2026 yang berlangsung Di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen
Wasaalatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen,
Saidina Muhammadin Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajama’een
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
ALHAMDULILLAH, marilah kita sama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat, taufik dan izin-Nya jua, kitani dapat berhimpun pada petang yang penuh bermakna ini iaitu sempena Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan Kali Ke-45.
Alhamdulillah, sejak tahun 2022 hingga kini, seramai 8,471 orang telah dikurniakan taraf kerakyatan Negara Brunei Darussalam (NBD). Pengurniaan ini mencerminkan kasih sayang dan pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap penduduk tetap yang telah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk mendapatkan taraf sebagai rakyat NBD sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Taraf Kebangsaan, Penggal 15. Pada masa yang sama, pengurniaan ini akan menjadi pemangkin kepada pembinaan negara, memupuk rasa kekitaan, mengeratkan perpaduan serta dapat menikmati hak dan melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara dengan penuh amanah dan kesetiaan kepada raja, agama, bangsa dan negara.
Setiap rakyat memainkan peranan penting dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035. Pembangunan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada dasar dan inisiatif kerajaan, malah memerlukan penyertaan aktif, komitmen serta rasa tanggungjawab daripada seluruh lapisan rakyat dan penduduk di negara ini. Oleh itu, kita hendaklah menghargai pengurniaan ini dengan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menjunjung tinggi Perlembagaan Negara serta falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja (MIB) dan sentiasa mematuhi undang-undang negara. Kesetiaan dan kepatuhan ini adalah asas kepada keharmonian, kestabilan dan kemajuan negara kita.
Dalam mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035, rakyat perlu terus meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan daya saing, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat serta bersedia menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan keperluan ekonomi masa hadapan. Pada masa yang sama, nilai-nilai integriti, disiplin, amanah, semangat sukarelawan dan perpaduan hendaklah terus diperkukuhkan sebagai asas pembentukan masyarakat yang berdaya tahan dan progresif. Selain itu, setiap rakyat adalah bertanggungjawab dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi, menjaga keharmonian masyarakat yang berbilang latar belakang, memelihara alam sekitar, serta mempamerkan akhlak, adab dan nilai-nilai murni dalam setiap tindakan.
Sesungguhnya, mencapai Wawasan Brunei 2035 merupakan tanggungjawab bersama. Apabila setiap rakyat melaksanakan peranan masing-masing dengan penuh dedikasi, semangat patriotisme dan rasa cinta kepada raja dan negara, insyaaAllah hasrat untuk menjadikan NBD sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan tinggi, berkemahiran, mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi serta ekonomi yang dinamik dan mampan akan dapat direalisasikan.
Ingin peramba / saya memetik Titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Kali Ke-41 pada tahun 2025 yang antara lain menitahkan “…Sesebuah negara adalah ibarat sebuah rumah besar. Kekuatannya bukan sahaja bergantung kepada tiang dan dinding yang kukuh, tetapi juga setiap penghuninya mestilah sama-sama bertanggungjawab untuk menjaga dan memeliharanya. Kejayaan dan kemakmuran negara tidak hanya terletak di bahu Kerajaan semata-mata, bahkan setiap lapisan masyarakat mestilah turut berperanan sama. Sebagai warganegara yang baik, tidak siapa pun yang boleh berkecuali dalam membangun negara. Banyak atau sedikit sumbangan masing-masing, itulah jasa dan pengorbanan namanya”.
Dalam era digital yang semakin berkembang, media sosial telah menjadi medium utama untuk berkomunikasi, mendapatkan maklumat dan berkongsi pandangan. Namun demikian, kebebasan menggunakan media sosial hendaklah disertai dengan tanggungjawab sivik digital dengan mengelakkan penyebaran maklumat palsu, menggunakan teknologi dengan penuh etika, bijaksana dan berhemah. Setiap rakyat mempunyai peranan penting untuk memastikan platform ini dimanfaatkan bagi tujuan yang membawa kebaikan, memperkukuh perpaduan serta menyebarkan maklumat yang sahih dan bermanfaat.
Sehubungan itu, peramba / saya sukacita mengingatkan agar setiap rakyat dan penduduk negara ini akan sentiasa berfikiran kritis sebelum berkongsi sesuatu maklumat, mengelakkan penyebaran berita yang tidak pasti kesahihannya, mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan fitnah, kebencian atau perpecahan serta sentiasa menghormati undang-undang negara dan berpegang teguh kepada nilai-nilai falsafah MIB.
Media sosial seharusnya dijadikan wadah untuk menyebarkan ilmu, memupuk persefahaman, memperkukuh semangat kenegaraan serta mempamerkan imej NBD sebagai sebuah negara zikir. Kemudahan teknologi ini perlu digunakan dengan penuh hikmah, kesopanan dan rasa tanggungjawab kerana setiap perkongsian bukan sahaja mencerminkan keperibadian individu malah turut membentuk persepsi masyarakat terhadap negara kita.
Pesanan kepada kitani semua, jagalah amanah sebagai warganegara dengan sebaik-baiknya. Sayangilah Negara Brunei Darussalam sebagaimana negara ini menerima abiskita sebagai rakyatnya. Tunjukkanlah kesetiaan yang tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hormatilah undang-undang negara, hayati dan berpegang teguhlah kepada falsafah MIB serta peliharalah perpaduan masyarakat. Gunakan media sosial dengan berhemah dan bertanggungjawab, serta teruslah berusaha untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan menjayakan aspirasi Wawasan Brunei 2035. Kitani semua memikul amanah besar untuk memastikan negara terus makmur, berdaulat dan dihormati di persada dunia.
Ingatlah, bahawa kemajuan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal atau ekonomi tetapi juga melalui akhlak, perpaduan, kesetiaan dan semangat cintakan negara yang terpahat dalam jiwa setiap rakyat. Peramba / saya yakin, dengan iltizam dan semangat tersebut, abiskita akan menjadi warganegara yang membanggakan keluarga serta menyumbang kepada kemajuan, kesejahteraan dan kemakmuran NBD.
Sebelum peramba / saya mengakhiri ucapan ini, bagi menzahirkan rasa syukur, marilah kitani bersama-sama menadah tangan memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam sentiasa berada di bawah pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala, dilanjutkan usia, sihat sejahtera dan kekal karar memerintah di atas singgahsana kerajaan NBD. Aamiin Yaa Rabbal Alamiin.
Pada kesempatan ini juga, dengan penuh rasa kesyukuran, peramba / saya mengajak hadirin sekalian untuk bersama-sama merafakkan sembah setinggi-tinggi ucapan Selamat Menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80, yang akan kita raikan dalam beberapa hari sahaja lagi.
Kepada semua pihak yang telah menjayakan Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan kali ini, peramba / saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih. Semoga segala usaha, komitmen dan khidmat bakti yang dicurahkan mendapat ganjaran pahala serta keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.