Bismillahir Rahmanir Rahim.
Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen.
Wasaalatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen,
Saidina Muhammadin Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Waman Tabi'ahu Bi Ihsanin 'Ila Yau Middeen, Waba'du.
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
ALHAMDULILLAH setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat, taufiq dan inayah-Nya jua kita dapat berhimpun dalam Majlis Penyampaian Sijil Tamat Program bagi Sijil Professional Pembimbing Haji dan Umrah Pengambilan Pertama anjuran Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).
Majlis ini adalah satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem bimbingan haji dan umrah di Negara Brunei Darussalam (NBD). la juga mencerminkan kesungguhan KUPU SB dalam melahirkan pembimbing ibadah yang berilmu, berkemahiran, beradab, berintegriti dan berwibawa.
Ibadah haji dan umrah bukan hanya perjalanan fizikal menuju Tanah Suci. la adalah perjalanan iman, perjalanan ilmu, perjalanan pengorbanan dan perjalanan penyucian diri. Oleh itu, jemaah yang menunaikan haji dan umrah memerlukan bimbingan yang sahih, tertib, mudah difahami dan berpaksikan hukum syarak.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya :
"Ambillah daripadaku cara kamu menunaikan manasik haji". [Sunan Kubra al-Baihaqi].
Hadis ini mengingatkan kita bahawa ibadah haji memerlukan ilmu dan panduan. Maka, pembimbing haji dan umrah mempunyai amanah yang besar. Mereka bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi membimbing jemaah memahami ibadah, menjaga tertib manasik, menangani kekeliruan, menenangkan keresahan dan membantu jemaah melaksanakan ibadah dengan lebih yakin dan sempurna.
Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah ini amat bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Konvokesyen Ke-14 KUPU SB pada 21 November 2024.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu, mengandungi beberapa isyarat penting kepada KUPU SB. Antaranya, KUPU SB hendaklah terus berperanan melahirkan guru-guru ugama yang terlatih, sebagai tonggak pembentukan akhlak dan pembekal ilmu kepada anak bangsa. Program-program KUPU SB hendaklah sentiasa dinilai dan diperbaharui supaya kekal relevan dengan keperluan negara, khususnya dalam bidang pendidikan Islam dan khidmat keugamaan.
KUPU SB hendaklah menghasilkan graduan dan tenaga profesional yang bukan sahaja berilmu, tetapi mampu menyumbang kepada masyarakat dan bersaing dalam keperluan semasa. KUPU SB hendaklah menjadi pelopor dalam memperkasa pendidikan ugama dan peneraju kepada dasar pendidikan patuh syarak. KUPU SB juga diberi ruang untuk memantau, menilai dan memberi pandangan terhadap amalan atau strategi pendidikan yang memerlukan pembaikan dari sudut hukum dan kemasyarakatan, melalui saluran institusi yang teratur.
Inilah mandat yang besar. Maka, KUPU SB tidak boleh hanya dilihat sebagai institusi yang melahirkan graduan semata-mata. KUPU SB hendaklah menjadi institusi ilmu yang hidup, berfungsi dan menyumbang langsung kepada keperluan negara. Dalam konteks ini, Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah adalah satu terjemahan praktikal kepada titah tersebut. la memperluaskan peranan KUPU SB daripada pendidikan formal kepada latihan profesional dan bimbingan masyarakat.
Menjelang Wawasan Brunei 2035, peranan KUPU SB perlu terus diperkasa. Wawasan Brunei 2035 menghendaki lahirnya rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi, berjaya, mempunyai kualiti kehidupan yang baik serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara yang dinamik dan berdaya tahan.
Dalam kerangka itu, KUPU SB mempunyai peranan yang sangat penting. KUPU SB bukan sahaja perlu melahirkan guru ugama, tetapi juga tenaga profesional keugamaan yang mampu menyumbang dalam pelbagai bidang kehidupan masyarakat. la adalah peluasan yang munasabah daripada amanah KUPU SB sebagai institusi perguruan ugama yang perlu responsif kepada keperluan semasa masyarakat dan negara.
Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah ini, adalah contoh yang baik. la menunjukkan bahawa ilmu ugama bukan hanya diajar, tetapi diterjemahkan menjadi khidmat. la bukan hanya dibaca dalam kitab, tetapi dipandu dalam perjalanan ibadah.
Saya mengambil maklum bahawa program ini telah dilaksanakan selama 14 minggu dan menetapkan piawaian pencapaian yang tinggi, iaitu markah lulus minimum sebanyak 85 peratus bagi setiap modul dan juga 85 peratus bagi keseluruhan modul.
Ini menunjukkan bahawa program ini bukan sekadar kursus jangka pendek yang biasa, tetapi satu latihan profesional yang menekankan disiplin ilmu, ketekalan, kesungguhan dan kualiti. Saya juga melihat objektif program ini sebagai menyeluruh. la tidak hanya menumpukan kepada peningkatan ilmu hukum-hakam haji dan umrah, tetapi turut merangkumi kepakaran profesional, peningkatan kualiti pengalaman ibadah jemaah, pembentukan etika profesional, pengurusan risiko dan keselamatan, serta budaya latihan berterusan.
Dalam hubungan ini, saya ingin menekankan beberapa hala tuju penting. Pembimbing haji dan umrah hendaklah dimartabatkan sebagai bidang kepakaran profesional. Pembimbing bukan hanya pengiring atau penyampai maklumat. Pembimbing ialah rujukan ibadah, pendamping jemaah, penasihat amali dan contoh akhlak. Maka, latihan, penilaian dan pengiktirafan yang tersusun hendaklah terus diperkukuh.
Bimbingan haji dan umrah di negara ini perlu mempunyai piawaian yang jelas dan tersusun. Piawaian itu hendaklah meliputi ilmu manasik, fiqh Mazhab Syafi'i sebagai pegangan rasmi negara, pendedahan terkawal kepada pandangan mazhab muktabar, etika pembimbing, komunikasi, pengurusan jemaah, kesihatan asas, keselamatan dan keperluan semasa.
Kerjasama antara institusi hendaklah terus diperkukuh. Pengurusan haji dan umrah bukan urusan satu pihak sahaja. la melibatkan Jabatan Urusan Haji, Jabatan Mufti Kerajaan, Majlis Ugama Islam Brunei, KUPU SB, Pusat Promosi Kesihatan, agensi operator haji dan umrah serta pihak-pihak berkepentingan yang lain. Setiap pihak mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan jemaah menerima bimbingan dan perkhidmatan yang terbaik.
Pembimbing haji dan umrah hendaklah dipersiapkan dengan realiti semasa pengurusan haji moden. Pengalaman menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji dan Simposium Haji Perdana di Jeddah (dan terakhir pada 20 Mei 2026 yang lalu) memberi isyarat bahawa pengurusan haji masa kini semakin tersusun, bersepadu dan berasaskan ilmu, teknologi serta perancangan awal. Realiti ini menuntut pembimbing memahami bukan sahaja hukum dan manasik, tetapi juga disiplin jemaah, keselamatan, kesihatan, pengurusan risiko, penggunaan teknologi, peraturan rasmi serta kepentingan mematuhi arahan pihak berkuasa haji.
Program ini hendaklah menjadi permulaan kepada pembangunan profesional berterusan. Sijil yang diterima pada hari ini bukan pengakhiran tugas, tetapi permulaan amanah. Selepas ini, pembimbing hendaklah terus meningkatkan ilmu, mengikuti latihan penyegaran, memperbaiki kemahiran dan menilai pengalaman sebenar di lapangan.
Dalam memperkukuh program ini, kita juga wajar mengambil iktibar daripada amalan baik di rantau ini. Ada negara yang telah membangunkan sistem bimbingan haji secara bertahap dan berterusan. Ada yang menekankan tadbir urus, kesihatan, keselamatan dan penyelarasan rapat dengan operator. Dan ada pula yang menekankan pensijilan serta penilaian kompetensi pembimbing secara khusus. Semua ini memberi isyarat bahawa bimbingan haji dan umrah pada hari ini tidak lagi boleh bersifat ad hoc atau bergantung kepada pengalaman semata-mata (biasanya apa yang diamalkan ialah banyak bergantung kepada ustaz, mutawif dan pembimbing berdasarkan kepada pengalaman masing-masing). Tetapi kini, haji dan umrah sudah menjadi lebih kompleks (ada sistem digital, aplikasi, permit, jadual pergerakan, peraturan Kerajaan Arab Saudi, isu kesihatan, warga emas, keselamatan, crowd management dan risiko kecemasan). Maka, ia perlu disusun sebagai satu sistem profesional yang mempunyai latihan, piawaian, penilaian, pemantauan dan penambahbaikan berterusan.
Oleh itu, peramba / saya melihat Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah ini sebagai satu permulaan yang baik bagi NBD. ia hendaklah terus diperkukuh sehingga mampu menjadi asas kepada pembentukan piawaian nasional pembimbing haji dan umrah, dengan mengambil kira pegangan Mazhab Syafi’i, keputusan pihak berkuasa ugama, keperluan operasi haji, kesihatan dan keselamatan jemaah, perkembangan teknologi, serta perubahan semasa pengurusan haji dan umrah.
Pada masa yang sama, usaha ini hendaklah dibuat secara teratur melalui penyelarasan dengan pihak-pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan. Apa-apa bentuk pengiktirafan atau piawaian rasmi, hendaklah disusun dengan jelas supaya kedudukan pembimbing, operator dan pihak berkuasa tidak bercampur aduk, bahkan saling melengkapi.
Peramba / saya juga ingin menegaskan bahawa pembimbing haji dan umrah perlu membawa pendekatan yang seimbang antara ilmu, hikmah dan akhlak. Dalam membimbing jemaah, bukan semua perkara dapat diselesaikan dengan jawapan hukum semata-mata. Ada waktunya jemaah memerlukan penerangan. Ada waktunya jemaah memerlukan kesabaran. Ada waktunya jemaah memerlukan ketenangan. Ada waktunya jemaah memerlukan bimbingan yang lembut tetapi tegas. Pembimbing yang baik ialah pembimbing yang berilmu tetapi tawaduk; tegas tetapi berhikmah; mahir tetapi tidak menyukarkan; dan sentiasa mengutamakan maslahah jemaah dalam lingkungan hukum syarak.
Kepada para peserta program yang diraikan pada hari ini, peramba / saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Kejayaan abiskita menamatkan program ini adalah satu pencapaian yang membanggakan. Namun, lebih besar daripada sijil yang diterima ialah amanah yang menanti selepas ini. Masyarakat akan melihat biskita sebagai orang yang mempunyai ilmu dan kelayakan untuk membimbing. Oleh itu, jagalah kepercayaan ini. Teruslah belajar. Teruslah memperbaiki diri. Teruslah bertanya kepada pihak yang berautoriti apabila berdepan dengan persoalan hukum yang sukar.
Jangan mudah memberikan jawapan tanpa ilmu. Jangan pula menjadikan pengalaman sebagai alasan untuk tidak lagi belajar. Jadilah pembimbing yang menenangkan jemaah, bukan menambah keresahan. Jadilah pembimbing yang memudahkan kefahaman, bukan menambah kekeliruan. Jadilah pembimbing yang membawa akhlak Islam, bukan sekadar menyampaikan maklumat. Dan jadilah pembimbing yang sentiasa sedar bahawa membimbing tetamu Allah adalah satu kemuliaan dan amanah yang besar.
Kepada KUPU SB, khususnya Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi, peramba / saya merakamkan penghargaan atas usaha menerajui program ini. Semoga pengambilan pertama ini menjadi asas kepada penambahbaikan berterusan, dan seterusnya melahirkan lebih ramai pembimbing haji dan umrah yang kompeten, berintegriti dan berwibawa. Peramba / Saya juga berharap agar KUPU SB terus memperkukuh program ini melalui semakan modul, latihan amali, simulasi bimbingan, kursus penyegaran, kerjasama institusi dan penilaian keberkesanan berdasarkan maklum balas jemaah serta agensi-agensi berkaitan.
Saya turut mengambil maklum bahawa majlis ini diserikan dengan pelancaran Buku Panduan Pembimbing Haji dan Umrah terbitan KUPU SB. Penerbitan buku ini amat bertepatan sebagai bahan rujukan asas untuk menyelaraskan kefahaman, pendekatan dan amalan bimbingan haji dan umrah. Dengan adanya buku panduan ini, kita melangkah setapak lebih dekat ke arah melahirkan jemaah yang celik ilmu, celik teknologi dan celik rohani demi menjadikan ibadah haji dan umrah sebagai pengalaman yang sempurna dan penuh keberkatan. Syabas kepada KUPU SB. Namun, buku panduan ini hendaklah dilihat sebagai dokumen yang hidup. la perlu sentiasa disemak dan dikemaskini berdasarkan perubahan semasa, keputusan pihak berautoriti, pengalaman lapangan, serta keperluan jemaah dari semasa ke semasa.
Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa semoga program ini terus diberkati, diperkukuh dan dipermudahkan. Semoga ia menjadi salah satu sumbangan bermakna KUPU SB dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam meningkatkan mutu bimbingan haji dan umrah NBD. Semoga para pembimbing yang diraikan pada hari ini menjadi pembimbing yang amanah, berilmu, berakhlak, berkhidmat dengan ikhlas dan sentiasa membawa manfaat kepada agama, raja, negara dan masyarakat.
Maka dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan rasminya melancarkan Buku Panduan Pembimbing Haji dan Umrah terbitan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan tahun 2026.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.