Akidah kukuh benteng utama menghadapi cabaran dunia digital

29 Og 2026 - 10:58am

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen.

Wasaalatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Ambiae Walmursaleen,

Saidina Muhammadin Wa'alaa Aalihiee Wasahbihee Waman Tabi'ahu Bi Ihsanin 'Ila Yau Middeen, Waba'du.

ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana mengizinkan kita dapat lagi meraikan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah.

Beta mengambil maklum tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara pada tahun ini ialah 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Aqidah'.

Tema ini bertepatan dengan baginda diutus sebagai pembawa rahmat kepada alam seluruhnya. Bagindalah suluh dunia dan suluh akidah. Sebelum baginda diutus, semuanya gelap gelita, berada dalam kegelapan kufur dan kesesatan serta kejahilan. Perkara ini telah dijelaskan sendiri oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ibrahim, ayat 1, tafsirnya :

"(Inilah) Kitab yang Kami telah turunkan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) supaya engkau mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji".

Ayat ini menegaskan bahawa antara misi terbesar kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ialah membimbing manusia kepada akidah yang sahih dan seterusnya membawa mereka menuju keselamatan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Dalam kemajuan teknologi dan komunikasi digital, kita umat Islam kini tidak lepas dari berhadapan dengan pelbagai cabaran memelihara akidah. Kemudahan mendapat sumber maklumat melalui media sosial dan platform digital telah membuka ruang kepada penyebaran pelbagai ajaran, tafsiran dan fahaman ugama. Maka amat membimbangkan kita, kerana kadang-kadang terdapat kandungan yang boleh mengelirukan, bahkan menyesatkan, sehingga berpotensi untuk menggugat akidah yang sahih, khasnya di kalangan para belia dan generasi muda, selaku pengguna utama platform digital.

Oleh itu, beta ingin menasihatkan semua lapisan, terutama golongan belia, supaya sentiasa berhati-hati terhadap sebarang individu atau kumpulan yang membawa naratif ugama dalam pelbagai bentuk, sama ada ia dari dalam mahupun luar negara, yang memperalatkan ugama untuk menyebarkan fahaman menyimpang. Di samping itu, beta juga menyeru ibu ibu bapa, guru-guru serta seluruh institusi pendidikan supaya memainkan peranan aktif dalam membimbing dan mengukuhkan akidah generasi muda, kerana pemeliharaan akidah bukan tanggungjawab satu pihak, tetapi tanggungjawab semua.

Oleh itu, jadikanlah diri kita sentiasa berhati-hati dan tidak mudah menerima segala pendapat dari sumber digital yang tidak diketahui kesahihannya, melainkan perlu dirujuk kepada institusi ugama berautoriti. Di antara contoh penyelewengan akidah ialah bermudah-mudah mengamalkan mengharuskan ugama, sembahyang seperti tanpa wuduk atau membenarkan sembahyang jamak dan qasar tanpa memenuhi syarat yang betul.

Terdapat juga golongan yang berfahaman menormalisasikan perkara-perkara yang ditegah atau yang bercanggah dengan ugama. Semua ini mesti ditolak, jangan sampai ia bertapak dalam masyarakat.

Dengan mengelak fahaman-fahaman yang mengelirukan seperti ini, insyaaAllah, akidah kita aliran Ahli Sunnah Waljamaah akan terus terpelihara.

Beta berharap Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada tahun ini akan benar-benar jadi pemangkin kepada seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk terus memperteguh akidah dengan Al-Quran mematuhi ajaran Al-Quran dan As-Sunnah serta menzahirkan kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui ibadat yang ikhlas.

Beta juga menyeru supaya seluruh rakyat sentiasa waspada dan bijaksana dalam menilai setiap kandungan yang diperoleh daripada platform digital. Jangan sekali-kali mudah terpengaruh atau menyebarkan ajaran yang tidak jelas sumbernya. Semoga dengan itu, akidah umat akan selamat dan perpaduan akan terus kukuh dan mantap.

Sesungguhnya akidah yang kukuh dan mantap adalah asas kepada keharmonian, keamanan dan kemakmuran sesebuah negara, dan sekali gus menjadi benteng utama dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan negara buat selama-lamanya.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.