Pendidikan Islam perlu seimbangkan kemajuan teknologi dengan prinsip syariat

26 Okt 2026 - 9:53am

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbiee Ajma'een, Waba'du.

 

BETA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita berhimpun pada pagi yang penuh berkat ini sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-16 Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Dengan hati yang tulus ikhlas, beta merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Penghargaan juga beta tujukan kepada para tenaga akademik, ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga yang telah mencurahkan segala usaha membimbing, mendorong dan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi sehingga para graduan berjaya mencapai kejayaan yang membanggakan. Beta berharap kejayaan yang diraih ini tidak hanya dilihat sebagai pencapaian peribadi tetapi juga perlu diterjemahkan sebagai sumbangan untuk ugama, raja dan negara.

Beta melihat perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) menjadi teknologi yang paling digemari pada abad ini, yang membawa perubahan besar kepada landskap Pendidikan dan kehidupan masyarakat. Dalam hubungan ini, KUPU SB sebagai institusi peneraju perguruan ugama hendaklah tidak hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi juga berupaya untuk menjadi pemimpin pendekatan pedagogi dan etika penggunaan AI yang berpandukan prinsip syarak, nilai Islam dan adab keilmuan yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Beta juga mengambil maklum akan kesungguhan KUPUSB dalam mempertahankan dan mengembangkan pengajian Kitab Turath dan tulisan Jawi dalam pembinaan kurikulumnya pada semua peringkat pengajian. Beta melihat usaha ini amat penting bagi memastikan kemajuan pendidikan dan teknologi terus berpaksikan khazanah ilmu Islam di samping memelihara jati diri, tradisi keilmuan dan kesinambungan warisan pendidikan ugama.

Sehubungan itu, pemerkasaan teknologi digital dan AI dalam pendidikan Islam hendaklah diadun secara bijaksana dengan penguasaan ilmu Turath dan kontemporari sebagai suatu ikhtiar strategik untuk memperkukuhkan lagi penyampaian ilmu, tanpa menjejaskan prinsip syariat dan adab keilmuan. Pendekatan sedemikian adalah penting bagi membina ketahanan di kalangan generasi pendidik supaya terus mampu mendepani pengaruh pemikiran dan ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.

Beta mengambil maklum dan menyambut baik komitmen KUPU SB dalam memperkukuh kurikulum yang holistik yang selaras dengan keperluan semasa. Usaha ini bukan sahaja berupaya meningkatkan kebolehpasaran graduan, bahkan juga turut memperkasa mereka sebagai mampu untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada institusi, masyarakat dan negara melalui penguasaan ilmu.

Sehubungan itu, KUPU SB perlu terus membangunkan ekosistem pendidikan yang komprehensif melalui jalinan kolaborasi strategik dengan para rakan, di samping memastikan program-program yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan semasa. Langkah ini juga wajar diperkukuh melalui pelaksanaan Program Pembangunan Professional Berterusan (Continuous Professional Development - CPD) bagi meningkatkan lagi keupayaan pada alumni KUPU SB agar sentiasa selaras dengan perubahan dan keperluan semasa, sekali gus mendukung pendidikan dan pembentukan modal insan yang unggul dan berdaya saing.

Dalam hal ini, beta menyambut baik inisiatif KUPU SB dalam memperluas program upskilling dan reskilling melalui penubuhan Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi KUPU SB. Kewujudan pusat ini diharapkan akan dapat menyemarakkan lagi budaya pembelajaran sepanjang hayat, di samping memperkaya pengetahuan dan meningkatkan keupayaan para graduan serta alumni. Lebih penting lagi, inisiatif tersebut berupaya untuk melahirkan sumber manusia yang berpegang teguh kepada prinsip syarak, memiliki keupayaan yang relevan dengan keperluan semasa, berdaya saing dalam pasaran pekerjaan serta memperoleh pengiktirafan melalui pensijilan kemahiran yang diiktiraf.

Akhirnya, beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga KUPU SB, khususnya pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Kolej Universiti, Ra’es, Ahli-ahli Senat, pegawai-pegawai utama, para ahli akademik, pegawai dan kakitangan (KUPU SB) atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga ilmu yang didapat oleh para graduan menjadi ilmu yang bermanfaat, diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan KUPU SB terus diberkati dalam melahirkan graduan berilmu dan berakhlak mulia.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.