(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
\
AMALAN bersedekah merupakan suatu amalan sunat yang sangat dituntut dalam Islam (sunat mu'akkadah) dan ia mempunyai berbagai kelebihan dan ganjaran yang sangat besar. Banyak dalil daripada al-Qur'an dan hadits yang menyebut tentang kelebihan bersedekah, antaranya sebuah hadits yang diriwayatkan daripada 'Adiy bin Hatim Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda :
Maksudnya : Sesiapa yang mampu daripada kalangan kamu untuk mendinding (dirinya) daripada api neraka sekalipun hanya dengan (bersedekah) setampik buah kurma, maka lakukanlah.
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadits ini Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menyeru umat Baginda supaya sentiasa mencari peluang untuk menyelamatkan diri daripada api neraka. Salah satu cara untuk menyelamatkan diri daripada api neraka ialah dengan bersedekah sekalipun sedikit. Sedekah yang sedikit itu hanya sedikit pada penilaian zahir manusia, akan tetapi tidak di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bersifat Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman :
Tafsirnya : Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah samalah seperti (menanam) sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan Allah menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Baqarah : 261)
Dalam ayat al-Qur'an di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menjanjikan bahawa sedekah yang diberikan dengan ikhlas semata-mata kerana mengharapkan keredhaanNya akan dilipatgandakan pahalanya sehingga 700 kali ganda bahkan lebih daripada itu jika Allah Subhanahu wa Ta'ala menghendakinya.
Amalan bersedekah ini juga mengeratkan silaturrahim sesama insan serta mengukuhkan rasa ukhuwwah dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat. Jika diperhatikan di masjid-masjid umpamanya, banyak orang ramai yang bermurah hati memberi sedekah makanan dan minuman untuk para jemaah ketika perhimpunan sembahyang Jumaat, majlis Dikir Maulid, hidangan berbuka puasa dan seumpamanya.
Menyebut tentang sedekah ini, sebahagian orang berfahaman bahawa sedekah hanya bertujuan untuk membantu dan meringankan bebanan orang yang susah, kurang mampu, anak yatim atau miskin. Maka timbul persoalan tentang kedudukan hak orang kaya terhadap harta sedekah, adakah orang kaya diharuskan menerima sedekah?
Dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah menceritakan tentang kisah seorang lelaki daripada zaman dahulu yang telah bersedekah kepada seorang penzina, seorang kaya dan seorang pencuri dalam keadaan dia tidak mengetahui bahawa mereka itu adalah penzina, orang kaya dan pencuri. Setelah lelaki tersebut mengetahui hal yang sebenarnya, dia merasa sedih dan kurang senang. Lalu dikatakan kepadanya di dalam mimpinya :
Maksudnya : Adapun sedekahmu kepada pencuri, maka semoga (dengan sedekahmu itu) dia menahan diri daripada (perbuatan) mencurinya. Adapun (sedekahmu) kepada penzina, maka semoga (dengan sedekahmu itu) dia menahan diri daripada (perbuatan) zinanya. Adapun (sedekahmu) kepada orang kaya, maka semoga (dengan sedekahmu itu) dia mengambil iktibar lalu menginfakkan daripada apa yang Allah telah berikan kepadanya.
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Imam Ibn Hajar al-'Asqalani Rahimahullah, hadits ini menunjukkan bahawa orang yang bersedekah itu sekiranya niatnya baik dan ikhlas, sedekahnya akan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sekalipun sedekahnya tidak sampai kepada penerima yang sepatutnya.
Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullah berkata dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj :
Ertinya : Dan halal (sedekah) bagi orang kaya, sekalipun daripada kalangan kaum kerabat menurut pendapat al-masyhur.
Berdasarkan penjelasan di atas, dapat difahami bahawa sedekah itu boleh diberi kepada orang kaya dan pemberi sedekah tetap mendapat pahala. Bersedekah kepada golongan yang memerlukan adalah afdhal berbanding bersedekah kepada orang kaya.
Menurut Imam al-Mawardi dan Imam ar-Ruyani Rahimahumallah, sedekah kepada orang kaya hanya sah sebagai sedekah jika diniatkan kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala dan mengharapkan pahala. Jika diberikan atas dasar penghargaan kepada penerima atau berbaik-baik dalam pergaulan dan seumpamanya, ia hanya dianggap sebagai pemberian dalam bentuk hibah. Disyaratkan juga supaya sedekah yang diberikan itu membawa manfaat kepada penerima. Jika tidak membawa manfaat kepada penerima, ia tidak dianggap sedekah.
Orang kaya pada dasarnya halal menerima sedekah. Sekalipun halal, namun makruh ke atas orang kaya menzahirkan dirinya supaya diberi sedekah. Jika perbuatan menzahirkan dirinya supaya diberi sedekah tersebut menyebabkan keadaan-keadaan berikut, maka haram ke atasnya menerima sedekah. Keadaan-keadaan tersebut ialah :
(i) Pemberi sedekah menyangka bahawa orang kaya itu adalah orang fakir.
Sekiranya pemberi sedekah tersalah anggap dengan perbuatannya bahawa orang kaya itu adalah orang fakir dan orang kaya tersebut mengetahui akan sangkaan pemberi sedekah itu, haram ke atas orang kaya itu menerima sedekah tersebut. Jika dia menerimanya, dia tidak memiliki pemberian sedekah itu. Dalam ertikata lain, pemilikan orang kaya itu terhadap harta sedekah tersebut adalah tidak sah.
Walau bagaimanapun, sekiranya pemberi sedekah itu tetap hendak memberikan sedekahnya kepada orang kaya tersebut sekalipun pemberi sedekah itu telah mengetahui perkara yang sebenar, maka dalam hal ini halal bagi orang kaya itu untuk menerimanya.
(ii) Pemberi sedekah tersalah sangka bahawa penerima adalah ahli ilmu, orang salih atau daripada keturunan mulia.
Sekiranya pemberi sedekah itu memberi sedekah kepada orang kaya kerana ilmu, kesalihan atau keturunannya, maka jika benar penerima itu adalah sepertimana yang disangkakan pemberi sedekah, maka halal bagi orang kaya itu menerima sedekah tersebut.
Sebaliknya, jika penerima itu bukan sepertimana yang disangkakan pemberi sedekah dan penerima tersebut mengetahui akan sangkaan pemberi sedekah itu, maka haram bagi orang kaya itu menerima sedekah tersebut. Jika dia menerimanya, dia tidak memiliki pemberian sedekah itu.
Walau bagaimanapun, sekiranya pemberi sedekah itu tetap hendak memberikan sedekahnya kepada orang kaya tersebut sekalipun pemberi sedekah itu telah mengetahui perkara yang sebenar, maka dalam hal ini halal bagi orang kaya itu untuk menerimanya.
(iii) Memiliki sifat tersembunyi yang jika diketahui oleh pemberi sedekah, dia tidak akan memberikan sedekah itu kepadanya.
Sebagai contoh, penerima sedekah mengetahui bahawa pemberi sedekah itu tidak mahu memberi sedekah kepada perokok. Maka dalam hal ini, sekiranya penerima itu seorang perokok, haram ke atasnya untuk menerima sedekah tersebut. Jika dia menerimanya, dia tidak memiliki pemberian sedekah itu.
Walau bagaimanapun, sekiranya pemberi sedekah itu tetap hendak memberikan sedekahnya kepada orang kaya tersebut sekalipun pemberi sedekah itu telah mengetahui perkara yang sebenar, maka dalam hal ini halal bagi orang kaya itu untuk menerimanya.
Dari penjelasan di atas, dapat difahami bahawa harus hukumnya bersedekah kepada orang kaya dan mereka pula halal menerimanya melainkan dalam keadaan-keadaan yang telah disebutkan di atas.