(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
DALAM tradisi masyarakat Islam, penggunaan kain penutup keranda telah menjadi amalan yang meluas. Kain tersebut dihamparkan di atas keranda kemudian dibentangkan di atas kubur ketika memasukkan jenazah ke liang lahad. Menurut syari‘at Islam, membentangkan kain di atas kubur ketika memasukkan jenazah ke liang lahad adalah sunat, bahkan ia lebih dituntut apabila jenazah yang dikebumikan adalah perempuan kerana melindungi bahagian-bahagian badan jenazah yang wajib ditutup daripada sebarang kemungkinan akan terdedah.
Di samping kain biasa, kain yang bertulis ayat-ayat al-Qur'an sering juga digunakan sebagai penutup keranda. Begitu juga kain yang bertulis padanya zikir dan doa yang lazimnya mengandungi Ism Mu'azhzham. Ism Mu'azhzham ialah nama yang dimuliakan antaranya seperti nama Allah (lafzh al-Jalalah), nama-nama Allah al-Asma' al-Husna, nama-nama para nabi sekalipun dia bukan rasul, nama-nama para malaikat, nama-nama orang salih dari kalangan mu’minin seperti nama-nama para sahabat dan wali-wali Radhiallahu 'anhum.
Selain untuk menjaga kehormatan jenazah, kain yang bertulis ayat-ayat al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham itu, pada anggapan sebahagian orang, boleh memberi manfaat seperti mendatangkan berkat kepada jenazah (tabarruk).
Namun dari sudut yang berbeza, sebahagian orang mempersoalkan mengenai penggunaan kain penutup yang bertulis ayat-ayat al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham itu disebabkan ia melibatkan sesuatu yang dimuliakan dalam Islam. Ada orang yang mengatakan bahawa hukum menggunakan kain yang mengandungi ayat-ayat al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham adalah haram. Perkara ini menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai, sama ada amalan menggunakan kain penutup yang mengandungi ayat-ayat al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham itu bercanggah dengan syari'at Islam ataupun sebaliknya.
Menurut hukum syara' al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham wajib dihormati, dimuliakan dan diagungkan. Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah menyebut :
Ertinya : Sesungguhnya al-Qur'an dan setiap Ism Mu'azhzham seperti nama Allah atau nama Nabi-Nya wajib dihormati, dimuliakan dan diagungkan.
Menghina al-Qur'an dan sesuatu yang bertulis Ism Mu'azhzham adalah haram dan boleh menyebabkan orang yang melakukannya menjadi kafir, umpamanya seseorang dengan sengaja mencampakkan kertas yang bertulis Ism Mu'azhzham ke tempat yang kotor dengan niat untuk menghina ugama.
Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah, perbuatan sengaja menyentuhkan al-Qur'an atau Ism Mu'azhzham atau hadits termasuk kitab-kitab ugama Islam dengan benda kotor seperti tahi, hingus atau air ludah juga boleh menyebabkan pelakunya dihukumkan kafir jika ia dilakukan dengan maksud menghina ugama kerana perbuatan itu termasuk dalam perkara merendahkan atau menghina ugama. Beliau berkata :
Ertinya : Sesungguhnya sentuhan sesuatu (yang tertulis al-Qur'an atau Ism Mu'azhzham( dengan benda kotor juga dihukumkan kafir (jika ia dilakukan dengan maksud menghina ugama).
Penjelasan di atas menegaskan bahawa al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham hendaklah dipelihara kehormatan dan kemuliaannya daripada tercemar oleh sebarang bentuk penghinaan. Perbuatan sengaja mencemar kehormatan dan kemuliaan al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham boleh menyebabkan pelakunya menjadi kafir.
Dalam kitab-kitab ulama mazhab Syafi'i, terdapat penjelasan mengenai hukum menulis ayat-ayat al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham pada kain kapan. Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah setelah menyebut tentang kewajipan menghormati, memuliakan dan mengagungkan al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham berkata :
Ertinya : Tidak syak lagi bahawasanya menulisnya (al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham) dan meletakkannya pada kain kapan mayat terdapat padanya unsur penghinaan.
Ketika menjawab mengenai persoalan penulisan yang mengandungi Ism Mu'azhzham pada kain kapan sebagaimana dalam kitab al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahulllah ada menyebut pendapat Imam Ibn Shalah Rahimahullah yang telah memfatwakan bahawa tidak boleh menulis ayat al-Qur'an seperti surah Yasin atau surah al-Kahf pada kain kapan kerana dikhuatiri terkena najis seperti nanah atau danur mayat (air yang keluar daripada mayat yang telah busuk). Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah cenderung kepada pendapat yang tidak membolehkan penulisan yang mengandungi Ism Mu'azhzham pada kain kapan kerana ia akan terdedah kepada najis dan tidak ada riwayat shahih daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sebagai hujah yang menuntut untuk berbuat demikian.
Dalam kitab Hasyiata al-Qalyubi wa 'Umairah, asy-Syaikh al-Qalyubi Rahimahullah dengan jelas menyatakan bahawa hukum menulis ayat-ayat al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham pada kain kapan adalah haram sebagaimana katanya :
Ertinya : Mereka (ulama) berkata: Haram menuliskan sesuatu daripada (ayat) al-Qur'an atau nama yang diagungkan pada sesuatu yang melekat pada mayat kerana ia akan terkena dengan nanah atau danur mayat.
Demikian juga dalam kitab Fath al-Mu'in, al-'Allamah Zain ad-Din al-Malibari Rahimahullah jelas menyebut :
Ertinya : Dan haram menuliskan sesuatu daripada (ayat) al-Qur'an dan nama-nama Allah Ta'ala pada kain kapan.
Nash-nash di atas jelas menegaskan bahawa menulis ayat al-Qur'an atau Ism Mu'azhzham seperti nama Allah Subhanahu wa Ta'ala dan Rasul-Nya pada kain kapan adalah haram dengan alasan kain kapan akan terdedah kepada kotoran seperti darah atau nanah mayat sehingga mencemarkan kehormatan ayat-ayat suci al-Qur’an dan nama-nama yang agung itu.
Adapun penulisan ayat al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham pada kain penutup keranda pula tidak banyak berbeza dengan penulisannya pada kain kapan. Pada kebiasaannya, kedua-duanya dilakukan dengan tujuan tabarruk, tetapi pada masa yang sama perkara ini boleh menyebabkan kehormatan dan kemuliaan al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham tercemar.
Menghormati al-Qur'an adalah merupakan kewajipan utama. Justeru, haram meletakkan ayat-ayat suci al-Qur'an di tempat kotor atau hina, membawanya ke tempat yang boleh menyebabkan penghinaan, menjualnya kepada bukan Islam, atau menyentuhnya tanpa wudhu'.
Menurut Fatwa Mufti Kerajaan, penulisan ayat al-Qur'an, doa dan zikir pada kain penutup keranda itu adalah tidak selaras dengan perintah untuk memelihara kehormatan dan kemuliaan ayat-ayat al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham. Sekalipun ada yang beranggapan kemuliaan dan kehormatan ayat-ayat al-Qur'an, doa dan zikir itu boleh dijaga, namun ia tetap boleh terdedah kepada penghinaan seperti disentuh tanpa wudhu', diletak di atas hujung kaki jenazah, terkena najis dan terabai setelah digunakan seperti diletak di atas tanah dan lain-lain perbuatan yang boleh mencemari kemuliaannya. Anggapan bahawa ia memberi manfaat kepada jenazah atau pahala kepada orang hidup tidak boleh dijadikan hujah kerana perkara pahala dan rahmat hanya ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dan mesti ada dalil sahih yang menjadi sandarannya.
Sebagai kesimpulan, al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham wajib dihormati. Menghina al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham adalah haram dan boleh menyebabkan pelakunya menjadi kafir. Adapun penulisan ayat-ayat al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham pada kain penutup keranda boleh menyebabkan ayat-ayat al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham terdedah kepada pencemaran umpama disentuh tanpa wudhu', diletak di atas hujung kaki jenazah, terkena najis atau terabai setelah digunakan seperti diletak di atas tanah dan lain-lain perbuatan yang boleh mencemari kemuliaannya. Oleh yang demikian, menutup keranda dengan kain yang bertulis ayat-ayat al-Qur'an dan Ism Mu'azhzham adalah lebih mustahak dihindarkan.