(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
APABILA berlaku kematian, antara kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam terhadap mayat orang Islam ialah memandikannya, kecuali bagi mereka yang meninggal dunia sebagai syahid. Hukum memandikan mayat adalah fardhu kifayah, begitu juga dengan mengapankan, menyembahyangkan, mengusung dan mengebumikannya. Jika sebahagian umat Islam telah melaksanakan kewajipan tersebut, maka gugurlah tuntutannya daripada yang lain. Asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullah dalam kitab Mughni al-Muhtaj, katanya :
Ertinya : Dan memandikannya iaitu mayat dan mengapankannya, menyembahyangkannya, mengusungnya dan mengebumikannya (adalah) fardhu kifayah berdasarkan ijma'.
Sunat menyegerakan mandi ke atas mayat setelah diyakini kematiannya, sebagai penghormatan kepada orang yang meninggal dunia. Walau bagaimanapun hukum menyegerakan mandinya itu menjadi wajib jika ditakuti dengan melambatkan urusan memandikan akan menyebabkan mayat tersebut berubah sebagaimana disebut oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah dalam kitabnya Hasyiyah I'anah ath-Thalibin, katanya :
Ertinya : Dan hendaklah segera dimandikan mayat iaitu sunat (disegerakan mandi) jika tidak ditakuti dengan melengah-lengahkan mandi (perut) mayat akan pecah. Jika sebaliknya (ditakuti perut mayat akan pecah), maka adalah wajib (menyegerakannya) sebagaimana yang zahir (daripada perkataan para ulama Syafi‘iyyah). Yang demikian itu kerana adanya perintah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pada menyegerakan (urusan) mayat.
Dalam keadaan tertentu, adakalanya mayat itu tidak dapat dimandikan atas sebab-sebab keuzuran. Kewajipan memandikan mayat boleh gugur dan digantikan dengan tayammum apabila berlaku sebab yang menghalang mayat tersebut untuk dimandikan. Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitab Minhaj ath-Thalibin menyebut :
Ertinya : Dan sesiapa (mayat) yang (terdapat) keuzuran (untuk) memandikannya (maka wajib) ditayammumkan.
Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam mensyarahkan maksud nash di atas dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj menyebut :
Ertinya : Dan sesiapa (mayat) yang (terdapat) keuzuran (untuk) memandikannya kerana ketiadaan air atau kerana terbakar atau terkena sengatan umpamanya, sekiranya dimandikan (jasadnya akan) hancur atau (sekiranya dimandikan) ditakuti (memudharatkan) ke atas orang yang memandikan dan dia (orang yang memandikan) tidak dapat menjaga dirinya (dari kemudharatan itu), maka wajib ditayammumkan (mayat itu) sebagaimana orang yang hidup dan (tidak dimandikan) kerana menjaga jasad mayat supaya dikebumikan sebagaimana keadaannya.
Ketika mengulas perkataan Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah mengenai XXXXJAWIXXXX iaitu ditakuti (memudharatkan) ke atas orang yang memandikan, Imam asy-Syarwani Rahimahullah dalam Hasyiyahnya (ke atas kitab Tuhfah al-Muhtaj), telah menukil pendapat Imam al-Kurdi Rahimahullah yang menyebut :
Ertinya : Atau ditakuti (memudharatkan) ke atas orang yang memandikan daripada terkena racun (daripada mayat yang dimandikan) kepada dirinya.
Mengenai keadaan ketiadaan air yang mengharuskan mayat tidak wajib dimandikan sebagaimana perkataan Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah di atas, Imam asy-Syarwani Rahimahullah menyatakan bahawa pengecualian itu tidak termasuk dalam keadaan jika air yang ada hanya mencukupi untuk memandikan mayat sahaja atau untuk keperluan orang yang hidup bersuci sahaja. Beliau berkata :
Ertinya : Dan tidak (dikira sebagai) ketiadaan air sekiranya air yang diperolehi hanya mencukupi untuk memandikan mayat sahaja atau untuk orang yang hidup bersuci (sahaja). Maka, (dalam keadaan ini) adalah wajib mendahulukan memandikan mayat kerana orang yang hidup boleh melakukan sembahyang mayat dengan bertayammum jika ada tanah atau ia dianggap (dalam keadaan) ketiadaan dua alat bersuci (air dan tanah). Berbeza halnya jika air itu digunakan oleh orang yang hidup untuk bersuci, maka yang demikian itu menyebabkan mayat dikebumikan tanpa disembahyangkan ke atasnya disebabkan keadaan mayat tidak suci, lebih-lebih lagi jika terdapat najis pada jasadnya.
Berdasarkan penjelasan di atas, sekiranya terdapat keuzuran yang menghalang mayat untuk dimandikan seperti ketiadaan air untuk memandikan mayat atau mayat terbakar yang boleh hancur jasadnya jika terkena air, maka mayat tersebut tidak wajib dimandikan akan tetapi wajib ditayammumkan sahaja. Begitu juga wajib ditayammumkan sekiranya dengan memandikan mayat tersebut ditakuti mendatangkan mudharat kepada orang yang memandikannya seperti takut terkena racun (seperti kuman atau virus) daripada mayat yang dimandikan dan seumpamanya.
Adapun sekiranya jasad mayat terdapat luka-luka yang apabila dimandikan akan mempercepat kerosakan mayat selepas dikebumikan, maka dalam hal ini, ia tetap wajib dimandikan sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam ar-Ramli Rahimahullah dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj :
Ertinya : Berbeza sekiranya terdapat padanya (jasad mayat) luka-luka dan ditakuti dengan memandikannya (akan) mempercepat kerosakan pada mayat selepas dikebumikan, maka (dalam keadaan ini), ia (tetap) dimandikan kerana kesudahan seluruh jasadnya (akan) menjadi seperti itu juga (rosak).
Cara Melakukan Tayammum Ke Atas Mayat
Mayat yang tidak dapat dimandikan, wajib diganti dengan tayammum. Pelaksanaan tayammum dilakukan oleh orang yang menguruskan mayat dengan cara memindahkan debu tanah ke bahagian muka dan kedua tangan mayat tersebut.
Dalam keadaan mayat yang tidak dapat disentuh secara langsung kerana ditakuti mendatangkan mudharat kepada orang yang menguruskannya, maka ia boleh dilaksanakan dengan berlapik atau dengan perantaraan alat yang bersesuaian. Ini kerana bertayammum dengan menyampaikan debu tanah ke muka dan dua tangan boleh dilakukan sama ada dengan tangan, kain atau kayu sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitab Raudhah ath-Thalibin, katanya :
Ertinya : Dan perkara wajib (dalam tayammum) ialah menyampaikan (debu) tanah ke muka dan dua tangan dengan apa jua cara sama ada dengan tangan, kain atau kayu. Dan tidak disyaratkan melalukan tangan di atas anggota tayammum menurut pendapat al-ashah. Sekiranya dia menyapu dengan tangannya kemudian dia mengangkatnya di pertengahan anggota tayammum dan selepas itu mengembalikannya hukumnya adalah harus dan tidak dituntut mengambil (debu) tanah baru menurut pendapat al-ashah.
Sekiranya mayat tersebut tidak dapat dimandikan dan tidak juga dapat ditayammumkan, sebagai contoh mayat adalah mangsa wabak berbahaya yang disahkan pakar perubatan bahawa jika ditayammumkan akan mendedahkan risiko jangkitan virus yang tinggi kepada pengendalinya, maka mayatnya dikafankan sebagaimana keadaannya (tanpa mandi dan tayammum), disembahyangkan dan dikebumikan.
Mengenai menyembahyangkan mayat yang tidak boleh dimandikan ini, Imam asy-Syarwani Rahimahullah dalam Hasyiyahnya yang mengulas kitab Tuhfah al-Muhtaj dalam perkara tidak boleh disembahyangkan orang yang tidak dapat dimandikan kerana lemas di dalam air, telah membawakan perkataan Imam ar-Rafi‘e Rahimahullah yang memilih bahawa orang yang tidak dapat dimandikan adalah juga disembahyangkan.
Begitu juga al-Imam ad-Darimi Rahimahullah berpendapat bahawa mayat yang tidak dapat dimandikan hendaklah juga disembahyangkan sebagaimana yang disebutkan oleh as-Sayyid al-Bakri Rahimahullah dalam kitabnya Hasyiyah I'anah ath-Thalibin, katanya :
Ertinya : Ad-Darimi dan (ulama) lainnya menegaskan bahawa orang yang tidak dapat dimandikan (adalah juga) disembahyangkan. Berkata ad-Darimi: Dan jika tidak (disembahyangkan), sudah tentu orang yang terbakar lalu menjadi abu atau (orang) yang dimakan binatang buas juga tidak disembahyangkan, dan saya tidak mengetahui seorang pun dari kalangan ulama kita yang mengatakan demikian (tidak disembahyangkan orang yang terbakar lalu menjadi abu atau orang yang dimakan binatang buas).
Pendapat mengenai mayat yang tidak dapat dimandikan tetapi tetap disembahyangkan juga adalah pendapat yang dipilih oleh ulama al-Muta'akhirin dari kalangan ulama asy-Syafi'iyyah.
Berdasarkan penjelasan di atas, memandikan mayat merupakan salah satu perkara wajib dalam pengurusan jenazah. Jika terdapat halangan dalam melaksanakan tuntutan memandikannya, maka boleh digantikan dengan tayammum. Jika tayammum juga tidak dapat dilakukan, maka memadai pengurusan mayat tersebut dengan mengapankan, menyembahyangkan dan mengebumikannya.