WAWASAN Brunei 2035 telah menggariskan hasrat negara untuk membina ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan menerusi Matlamat 3, khususnya melalui usaha kepelbagaian ekonomi serta pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Sehubungan dengan itu, perniagaan berimpak sosial dilihat semakin relevan sebagai satu pendekatan yang tidak sekadar mengejar keuntungan tetapi turut membawa manfaat nyata kepada komuniti kitani.
Perniagaan sebegini berbeza daripada perniagaan konvensional kerana sebahagian daripada nilai yang dijana akan disalurkan semula bagi menangani isu sosioekonomi setempat seperti peluang pekerjaan, akses kepada keperluan asas dan pembangunan di kawasan luar bandar. Ambil contoh perniagaan yang membekalkan input pertanian mampan kepada pekebun-pekebun kecil kitani. Selain menjana pendapatan, perniagaan seumpama ini turut membantu meningkatkan hasil tani tempatan secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan.
Bagi memperkukuhkan lagi pendekatan ini, pihak berkepentingan wajar mempertimbangkan beberapa langkah. Kerjasama strategik antara sektor swasta, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan perlu dipereratkan. Di samping itu, program pembangunan kapasiti bagi usahawan tempatan, terutamanya golongan belia dan wanita, patut diperluaskan lagi. Mekanisme insentif yang bersesuaian juga boleh diperkenalkan bagi menggalakkan lebih ramai usahawan kitani menceburkan diri dalam bidang ini.
Dengan sokongan dasar yang jelas dan penglibatan komuniti sejak peringkat awal, perniagaan berimpak sosial berpotensi menjadi enjin penting ke arah ekonomi yang bukan sahaja berdaya saing tetapi turut inklusif, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Nama : Siti Rusdinah binti Haji Ruslan
No. K/P : 01-046XXX