APABILA kita melihat seorang anak muda berdiri di atas podium menerima pingat, mungkin kita hanya melihat kejayaan seorang atlet. Namun, di sebalik kejayaan itu sebenarnya terdapat sokongan ramai pihak iaitu ibu bapa, jurulatih, rakan-rakan dan komuniti yang sentiasa memberikan dorongan.
Pada pendapat saya, pembangunan sukan tidak seharusnya diletakkan di bahu atlet dan pihak berkuasa sahaja. Komuniti juga mempunyai peranan yang penting dalam mewujudkan persekitaran yang menggalakkan masyarakat untuk bersukan. Aktiviti seperti larian, bola sepak, badminton, senamrobik dan pelbagai kegiatan sukan boleh dianjurkan secara berkala di peringkat kampung dan mukim.
Selain menggalakkan gaya hidup sihat, aktiviti sukan mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat. Anak-anak muda dapat mengisi masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah, manakala golongan dewasa pula berpeluang menjaga kesihatan sambil mengeratkan silaturahim.
Kita juga perlu memberikan lebih banyak ruang kepada kanak-kanak untuk mengenali dan mencuba pelbagai jenis sukan sejak usia muda. Tidak mustahil daripada aktiviti kecil di peringkat komuniti akan lahir bakat yang suatu hari nanti mampu mengharumkan nama negara.
Namun, usaha ini memerlukan komitmen bersama. Kemudahan sukan perlu dijaga, program perlu diteruskan dan para sukarelawan perlu dihargai. Sokongan moral daripada keluarga dan masyarakat juga amat penting supaya anak-anak tidak mudah berputus asa.
Saya percaya sukan bukan hanya tentang kemenangan dan pingat. Sukan membentuk disiplin, keyakinan diri, semangat berpasukan dan persahabatan. Jika setiap komuniti memainkan peranan, kita bukan sahaja memajukan pembangunan sukan tetapi turut membina masyarakat yang lebih sihat, aktif dan bersatu.
Nama : Siti Nurhazwani binti Muhedin
No. K/P : 01-057XXX