Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
SYDNEY, AUSTRALIA, Sabtu, 15 Ogos. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berangkat meninggalkan Australia setelah menamatkan Lawatan Rasmi selama empat hari mulai Rabu, 12 Ogos 2026 atas undangan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Australia, The Honourable Richard Marles MP.
Berangkat mengiringi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ialah anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.
Sebelum berangkat meninggalkan Sydney, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Hamidon bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Abdul Hamid.
Hadir di Lapangan Terbang Sydney bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia ialah Strategic Advisor for Defence and Security, Mejar Jeneral (B) Andrew Freeman dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Michael Hoy.
Juga hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi NBD ke Australia, Puan Yang Terutama Dayangku Nooraslena binti Pengiran Dato Paduka Haji Sallehuddin.