Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Ogos. - Majlis Dikir Maulud sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam di Istana Nurul Iman diteruskan lagi bagi malam ke-10, malam tadi bertempat di Surau Istana Nurul Iman bersama pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.
Hadir pada majlis berkenaan, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fadzlin bin Haji Amdan; dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, selaku Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, Daerah Temburong.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah, Sayyidul Istighfar serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Seterusnya, tazkirah bertajuk ‘Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Amalan Doa Ketika Sakit’ yang disampaikan oleh Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin dari Pusat Da’wah Islamiah (PDI) menyemarakkan suasana majlis.
Persembahan dikir dimulakan dengan Dikir Assalamualaika, diikuti Dikir Khairuman, Bisyahrin, Al-Hamdu/Badat dan Asyarakal.
Sementara itu, majlis seumpamanya turut berlangsung di Surau Perempuan Istana Nurul Iman.
Manakala tazkirah dengan tajuk yang sama disampaikan oleh Dayang Dr. Norhazerah binti Baha dari PDI.
Kedua-dua majlis diakhiri dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.