Oleh : Siti Rokiah Abdullah
Foto : Siti Rokiah Abdullah, Ihsan Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya
GADONG, Jumaat, 16 Oktober. - Disability Inclusive Training : Brunei Disability Camp 2026 yang telah diadakan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Oktober 2026 telah melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutup.
Acara berkenaan dianjurkan oleh Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), bertempat di Bangunan The FORUM, Blok 'B', Tingkat 3, (satu bangunan dengan Pejabat Progresif Sdn. Bhd.), Simpang 137-65, Kampung Kiarong, Jalan Pasar Baru Gadong, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Penasihat MKOKU, Awang Haji Abdul Alim bin Awang Haji Othman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (Brunei Darussalam National Association of the Blind - BDNAB), Awang Mohammad Hakim Imanuddin bin Asarwih.
Diikuti dengan ucapan ucapan alu-aluan dan penghargaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua MKOKU, Awang Muhammad Hamzi bin Omar, dan kemudian diteruskan dengan ucapan daripada Timbalan Yang Dipertua MKOKU, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang serta beberapa ucapan daripada Naib Yang Dipertua 1, MKOKU; wakil Naib Yang Dipertua 2, MKOKU; dan Naib Yang Dipertua 3, MKOKU.
Majlis penutup kemudian menyaksikan penyampaian sijil-sijil kepada para peserta oleh tetamu kehormat majlis.
Program tiga hari berkenaan telah berjaya membahas dan membincangkan lima topik tema penting yang berkaitan dengan kehidupan OKU yang merangkumi pendidikan, pekerjaan, aksesibitliti, kesihatan dan perlindungan sosial yang dihuraikan dan dikongsikan oleh seramai 13 pembentang.
Para pembentang terdiri daripada pegawai-pegawai dari jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.
Melalui program berkenaan, para peserta juga telah berjaya mengupas isu dan cabaran serta memberikan cadangan, solusi bagi lima tema berkenaan berdasarkan perspektif dan konteks golongan OKU.