Ekonomi NBD terus mencatat pertumbuhan meskipun pada kadar lebih perlahan

25 Jul 2026 - 6:48am

Siaran Akhbar : Brunei Darussalam Central Bank

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 24 Julai. - Dalam laporan World Economic Outlook edisi Julai 2026, International Monetary Fund (IMF) mengunjurkan pertumbuhan global meningkat secara sederhana kepada 3.0 peratus pada 2026 dan 3.4 peratus pada 2027, berbanding 3.4 peratus pada 2025.

Prospek tersebut kekal tidak sekata, berikutan ketegangan geopolitik dan kos tenaga yang lebih tinggi yang menjejaskan sebahagian ekonomi, manakala pelaburan dan permintaan yang didorong oleh Kecerdasan Buatan (Al) terus menyokong pertumbuhan dalam ekonomi yang berintegrasi dengan rantaian nilai teknologi global.

Walau bagaimanapun, risiko kekal tinggi. Peningkatan ketegangan geopolitik, termasuk kemungkinan tercetus semula konflik di Asia Barat, boleh memanjangkan tempoh ketidaktentuan harga komoditi, mengganggu rantaian bekalan global, meningkatkan tekanan inflasi, serta mengetatkan keadaan kewangan.

IMF menekankan bahawa kesan ekonomi daripada konflik tersebut akan bergantung pada tempoh dan skalanya. Negara-negara yang terjejas secara langsung oleh konflik, serta ekonomi berpendapatan rendah dan pasaran sedang pesat membangun yang banyak bergantung pada import komoditi, dijangka paling terkesan.

Ekonomi tersebut lebih terdedah kepada kenaikan harga tenaga dan makanan, tekanan inflasi yang berterusan, keadaan kewangan yang lebih ketat, serta sentimen pelaburan yang lemah. Walau bagaimanapun, IMF mengenal pasti beberapa faktor yang berpotensi meningkatkan prospek ekonomi global, termasuk penyelesaian konflik yang cepat, peningkatan produktiviti yang didorong oleh Al, dan pengurangan ketegangan perdagangan global.

Berikutan trend penurunan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, inflasi global dijangka meningkat sementara kepada 4.7 peratus pada 2026, sebelum menurun semula pada 2027.

Tekanan inflasi masih tertumpu pada ekonomi yang baharu muncul dan sedang membangun, terutamanya pengimport komoditi yang mempunyai kelemahan fiskal dan sektor luaran. Pengukuhan Dolar Amerika Syarikat (AS), berikutan peralihan pelabur kepada aset yang kurang berisiko, boleh meningkatkan kos import, termasuk harga tenaga dan makanan, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi import di kebanyakan ekonomi, kecuali AS.

Harga minyak telah meningkat dan mencecah USD120 setong pada Mei 2026 sebelum kembali menyederhana kepada sekitar USD70 setong menjelang akhir Jun. Kenaikan awal tersebut didorong oleh peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat, gangguan bekalan di laluan transit utama seperti Selat Hormuz, sekatan pengeluaran yang berterusan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+), serta permintaan global yang kekal berdaya tahan meskipun kadar pemulihan ekonomi tidak serata.

Harga minyak dijangka kekal pada tahap tinggi sekitar USD80 hingga USD90 setong dalam masa terdekat sebelum beransur sederhana sekiranya ketegangan geopolitik berkurangan. Sebaliknya, harga gas asli telah menurun berikutan bekalan yang mencukupi dan tahap inventori yang tinggi, terutamanya di AS, di mana permintaan juga menurun akibat cuaca panas dan pengurangan aktiviti perindustrian.

Walau bagaimanapun, harga gas asli dijangka pulih secara beransur-ansur berikutan peningkatan permintaan global terhadap gas asli cecair (LNG) serta keadaan inventori yang semakin ketat.

Perkembangan terkini telah meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global, mencerminkan peningkatan risiko yang saling berkaitan terhadap prospek ekonomi global. Peningkatan ketegangan geopolitik, khususnya di Asia Barat, telah menyumbang kepada ketidaktentuan dalam pasaran aset global, termasuk ekuiti, bon dan komoditi, yang seterusnya mendorong pelabur untuk menilai semula pendedahan risiko dan mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati.

Keadaan ini turut menyumbang kepada pengetatan sementara keadaan kewangan global, dengan sentimen pelabur yang lemah dan premium risiko yang lebih tinggi. Pasaran komoditi, khususnya harga tenaga, kekal sensitif terhadap perkembangan geopolitik dan potensi gangguan bekalan, sekali gus mengakibatkan peningkatan harga minyak.

Berikutan pemulihan yang kukuh pada separuh kedua 2025, ekonomi NBD terus mencatat pertumbuhan pada suku pertama 2026, meskipun pada kadar yang lebih perlahan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026, berbanding pertumbuhan sebanyak 4.8 peratus pada suku keempat 2025.

Ini mencerminkan aktiviti ekonomi yang sederhana selepas peningkatan ketara dalam pengeluaran minyak dan gas yang dicatatkan pada penghujung 2025. Sektor minyak dan gas berkembang sebanyak 4.1 peratus disokong oleh peningkatan pengeluaran minyak mentah, gas asli dan LNG pada suku pertama 2026.

Sementara itu, sektor bukan minyak dan gas menurun sebanyak 3.0 peratus didorong oleh pengurangan dalam aktiviti hiliran sebanyak 1.6 peratus serta penurunan dalam sektor-sektor lain seperti kewangan, perkhidmatan perniagaan, dan pembinaan.

Tinjauan ekonomi NBD bagi 2026 kekal positif dan dijangka akan bertambah baik, disokong oleh peningkatan pengeluaran minyak dan gas serta pengembangan berterusan sektor bukan minyak dan gas. Pertumbuhan dijangka mendapat manfaat daripada perkembangan aktiviti huluan dan hiliran, limpahan positif daripada projek-projek utama Pelaburan Langsung Asing (FDI), serta pelaksanaan inisiatif pembangunan di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN12).

Pada 2025, Indeks Sentimen Perniagaan (Business Sentiment Index - BSI) mencatatkan purata sebanyak 52.8, iaitu sekitar paras neutral. Ini menunjukkan bahawa keadaan perniagaan secara keseluruhan adalah stabil sepanjang tahun. Sentimen mengikut sektor dan saiz perniagaan adalah berbeza, yang mana sentimen optimistik perniagaan disokong oleh perbelanjaan bermusim dan perayaan, manakala perbelanjaan rentas sempadan semasa tempoh cuti panjang memberi kesan kepada permintaan domestik.

Di samping itu, ketidakpastian berkaitan perancangan projek, gangguan cuaca dan permintaan yang berkurangan bagi sektor-sektor tertentu turut menyumbang kepada perbezaan sentimen. Dalam tempoh lima bulan pertama 2026, BSI mencatatkan purata 55.7 yang mencerminkan peningkatan yang sederhana dalam keyakinan perniagaan. Peningkatan ini sebahagiannya disokong oleh faktor bermusim, terutamanya perbelanjaan pelanggan yang kukuh semasa tempoh perayaan pada awal tahun.

Harga pengguna di NBD kekal dalam trend deflasi, dengan purata -0.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei 2026. Penurunan ini terutamanya disebabkan oleh harga yang lebih rendah dalam kategori bukan makanan, khususnya sub-indeks komunikasi dan perumahan, elektrik, air, gas dan bahan api yang lain.

Memandang ke hadapan, risiko peningkatan inflasi masih wujud, terutamanya daripada potensi kenaikan harga makanan dan komoditi global serta gangguan rantaian bekalan yang berterusan. Sebagai ekonomi yang sangat bergantung pada import, NBD turut terdedah kepada inflasi import, terutamanya melalui saluran makanan dan barangan perantaraan. Walau bagaimanapun, kesan terhadap harga domestik dijangka kekal terkawal, disebabkan oleh subsidi kerajaan, kawalan harga pentadbiran serta rangka kerja dasar monetari yang sedia ada.

Di samping itu, Monetary Authority of Singapore (MAS) pada April 2026 telah meningkatkan kadar kenaikan Singapore Dollar Nominal Effective Exchange Rate (S$NEER), yang dijangka dapat membantu mengurangkan tekanan inflasi import di NBD, memandangkan kesamarataan nilai antara Dolar Brunei dan Dolar Singapura. Dengan mengambil kira perkembangan Indeks Harga Pengguna (IHP), serta keadaan global dan serantau, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) mengunjurkan kadar inflasi bagi 2026 berada dalam lingkungan -0.3 peratus hingga 0.7 peratus.

Selaras dengan persekitaran kadar faedah serta perkembangan ekonomi dan kewangan global yang terus berubah, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan dan Monetari (FMSC) telah mengekalkan Kadar Pinjaman Semalaman BDCB pada 1.50 peratus dan Kadar Simpanan Semalaman pada 0.50 peratus sejak November 2025. Langkah ini bertujuan untuk memastikan operasi monetari BDCB kekal selaras dengan prinsip Lembaga Mata Wang, di samping menyokong aktiviti pasaran wang domestik. FMSC akan terus memastikan tahap kecairan yang mencukupi bagi menyokong kelancaran fungsi sistem kewangan domestik.

Walaupun pendedahan NBD terhadap perkembangan luaran masih terkawal, persekitaran global yang tidak menentu menekankan kepentingan untuk terus mengekalkan kedayatahanan makro kewangan yang kukuh, amalan pengurusan risiko yang berhemat dan penampan dasar yang mencukupi bagi memelihara kestabilan kewangan dan ekonomi domestik.

Di sebalik ketidaktentuan global yang semakin meningkat, sektor kewangan NBD terus menunjukkan kedayatahanan, kestabilan dan asas kewangan yang kukuh, dengan jumlah aset sektor kewangan sebanyak BND25.7 bilion pada suku pertama 2026. Sistem kewangan negara terus disokong oleh kedayatahanan institusi kewangan Islam dan konvensional. Sektor kewangan Islam kekal sebagai segmen utama dalam sistem kewangan, dengan jumlah aset sebanyak BND14.7 bilion dan menyumbang 57.2 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sektor kewangan, manakala sektor konvensional mencatatkan aset sebanyak BND11 bilion.

Bank dan syarikat kewangan, sebagai institusi penerima deposit, terus mendominasi sistem kewangan dengan menyumbang 91.1 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sistem kewangan, dengan aset berjumlah BND23.4 bilion. Industri takaful dan insurans serta industri pasaran modal masing-masing menyumbang 8.9 peratus dan 0.1 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sistem kewangan.

Sektor perbankan kekal mempunyai permodalan yang kukuh dan tahap kecairan yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin mencabar. Pada suku pertama 2026, Nisbah Kecukupan Modal (Capital Adequacy Ratio) mencatatkan 19.5 peratus, melebihi keperluan minimum pengawalseliaan. Kedudukan kecairan juga kekal mencukupi, dengan Nisbah Aset Cair kepada Jumlah Aset (Liquid Assets-to-Total Assets) sebanyak 39.1 peratus serta Nisbah Liputan Kecairan (Liquidity Coverage Ratio) sebanyak 444.7 peratus. Jumlah aset sektor perbankan meningkat sebanyak 1.0 peratus tahun ke tahun kepada BND21 bilion, didorong terutamanya oleh peningkatan aktiviti pinjaman/pembiayaan sebanyak 11.3 peratus tahun ke tahun kepada BND8.7 bilion, yang sebahagian besarnya disumbang oleh pertumbuhan pembiayaan korporat.

Kualiti aset turut bertambah baik, dengan Nisbah Pinjaman/Pembiayaan Tidak Berbayar Bersih (Net Non-Performing Loans/Financing Ratio) menurun kepada 1.0 peratus berbanding 1.3 peratus pada tahun sebelumnya. Penambahbaikan ini mencerminkan amalan pengurusan risiko yang berhemat serta tahap peruntukan yang mencukupi. Sementara itu, deposit mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun kepada BND16.4 bilion. Keuntungan turut mencatatkan sedikit penurunan, dengan Pulangan ke atas Aset (Return on Assets) pada 1.3 peratus dan Pulangan ke atas Ekuiti (Return on Equity) pada 8.1 peratus. Secara keseluruhan, sektor perbankan kekal mencatatkan keuntungan, disokong oleh pertumbuhan kredit yang stabil dan penampan modal yang kukuh.

Bagi sektor pasaran modal, BDCB telah mengeluarkan Notis mengenai Tawaran Debentur Kepada Pelabur Runcit (Notis No. CMU/N-1/2018/12) - Pindaan No. 1, yang berkuat kuasa pada 10 April 2026. Notis pindaan tersebut menjelaskan bahawa, tertakluk kepada kelulusan BDCB, ‘debentur’ yang dikeluarkan melalui syarikat tujuan khas (‘special purpose vehicle’) yang diperbadankan di luar NBD tidak akan dikenakan keperluan ‘debentur’ luar negara di bawah Notis tersebut, dengan syarat ‘obligor’ diperbadankan di NBD dan ‘debentur’ tersebut ditawarkan kepada pelabur di NBD.

Bagi memupuk inovasi dalam teknologi kewangan, BDCB telah mengemas kini Garis Panduan FinTech Regulatory Sandbox bagi menyokong inovasi yang inklusif dan bertanggungjawab dalam sektor kewangan NBD. Pindaan tersebut memperluas penyertaan kepada institusi kewangan yang berkelayakan bersama syarikat teknologi kewangan (FinTech) untuk menguji teknologi baharu dan penyelesaian inovatif dalam persekitaran Sandbox. Langkah ini dijangka menggalakkan kerjasama yang lebih erat dan mempercepat penggunaan penyelesaian kewangan transformatif dalam industri.

Sehubungan itu, BDCB akan terus memantau perkembangan ekonomi global dan domestik, serta pasaran kewangan, di samping berwaspada terhadap risiko baharu yang mungkin timbul. BDCB kekal komited untuk memastikan rangka kerja dasar dan langkah pengawalseliaan sentiasa responsif dan bersesuaian dalam memelihara kestabilan makro-kewangan.

Melalui pemantauan berterusan, pelarasan dasar yang berhemat serta kerjasama erat dengan pihak-pihak berkepentingan, BDCB akan terus mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan NBD serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.