Oleh : Aimi SaniFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 Julai. - Penubuhan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) ialah sebagai wadah amal jariah dan derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat baginda, sebagai tanda pemedulian dan kasih sayang baginda terhadap rakyat serta ke arah pembentukan masyarakat Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.
Seiring dengan pendekatan senegara yang mantap Whole of Nation Approach, YSHHB turut bekerjasama dengan beberapa agensi berkepentingan bagi mempertingkatkan syiar Islam di negara ini.
Melalui program memakmurkan masjid, YSHHB, petang tadi telah menyampaikan sumbangan kepada beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.
YSHHB menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND113,150 berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks YSHHB, Bandar Seri Begawan.
YSHHB memberikan sumbangan keseluruhannya berjumlah BND85,300 kepada beberapa masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara khusus bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.
Sebanyak 83 buah masjid, surau dan balai ibadat menerima sumbangan kewangan tersebut iaitu 37 buah di Daerah Brunei dan Muara; sembilan buah di Daerah Belait; 24 buah di Daerah Tutong dan 13 buah di Daerah Temburong. Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.
Sumbangan kepada masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.
Manakala masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Tutong dan Daerah Temburong disampaikan oleh Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku Ahli Lembaga Pengarah YSHHB.
Selaras dengan dasar penubuhannya, YSHHB terus melaksanakan aktiviti kebajikan khususnya membantu mereka yang sangat memerlukannya.
YSHHB jua turut menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah BND27,850 kepada enam buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan sebuah keluarga yang terlibat dalam kejadian angin kencang di beberapa buah kampung di seluruh negara.
Sumbangan ini dihasratkan dapat meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan seharian.
Mereka yang terlibat ialah Awang Haji Gimbol bin Haji Tarip, Kampung Lumapas; Awang Halawi bin Tamin, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Rimba; Awang Chong Koh Fatt, Jalan Semaun, Seria dan Dayang Saadiah binti Samat, Kampung Kupang; Dayang Luluk binti Udan, Kampung Lagau; Dayang Chia Wen Mei, Jalan Semaun, Seria dan Dayang Chong Yun Fong, Jalan Semaun, Seria.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang).
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan YSHHB.