Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Ogos. - Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Julai 2026 meningkat sebanyak 0.02 peratus berbanding Julai 2025. Peningkatan berkenaan didorong oleh indeks makanan dan minuman ringan yang meningkat sebanyak 1.2 peratus. Manakala, indeks bukan makanan menurun sebanyak 0.3 peratus.
Peningkatan indeks makanan dan minuman ringan adalah disumbangkan oleh kenaikan harga daging (4.4 peratus), khususnya ayam segar, buah-buahan (2.7 peratus) seperti limau kasturi dan anggur, ikan dan makanan laut (1.6 peratus), khususnya udang dan makanan laut lain dan minuman kopi, teh dan koko (5.8 peratus).
Bagi indeks bukan makanan, penurunan dicatatkan pada harga perhubungan (3.5 peratus), khususnya pakej perkhidmatan internet, pakaian dan kasut (3.8 peratus), dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.0 peratus), disebabkan oleh premium insurans kenderaan.
Bagi perbandingan bulan-ke-bulan, IHP Julai 2026 menurun sebanyak 0.2 peratus berbanding Jun 2026 yang didorong oleh penurunan dalam indeks bukan makanan dan indeks makanan dan minuman ringan masing-masing sebanyak 0.2 peratus dan 0.1 peratus.
Penurunan indeks makanan dan minuman ringan adalah disumbangkan oleh harga sayur-sayuran (3.3 peratus); susu, produk tenusu dan telur (0.6 peratus); dan minyak dan lemak (0.7 peratus). Manakala, penurunan indeks bukan makanan adalah terutamanya disumbangkan oleh harga-harga pakaian dan kasut (4.4 peratus), pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.4 peratus) dan perhiasan, perkakasan dan penyelenggaraan rutin isi rumah (0.2 peratus).
IHP mengukur perubahan harga bakul barangan dan perkhidmatan tetap yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.
Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.
Laporan penuh IHP bagi Julai 2026 boleh didapati di laman sesawang JPES ‘https://www.deps.gov.bn/’.