Kejayaan menggenggam segulung ijazah berkat usaha, pengorbanan, ketekunan

12 Og 2026 - 6:41am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Ihsan Awang Haji Abdur Rasyid Awang Hamdani, Awangku Muhd. Arif Hafizuddin Pengiran Haji Zulkarnain, Dayang Lew Yan Yan @ Vanessa 

TUNGKU LINK, Selasa, 11 Ogos. – Menggenggam segulung ijazah bukan sekadar meraikan kejayaan pada hari konvokesyen, sebaliknya menjadi simbol perjalanan panjang yang dipenuhi usaha, pengorbanan, cabaran, air mata, doa dan ketekunan.

Bagi setiap graduan, perjalanan menuju kejayaan mempunyai cerita tersendiri. Ada yang berdepan dengan kemerosotan prestasi akademik, ada yang perlu membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan pengajian, manakala ada pula yang perlu keluar daripada zon selesa untuk membina keyakinan diri. Namun, satu perkara yang menyatukan mereka ialah keazaman untuk terus melangkah walaupun perjalanan tidak selalunya mudah.

Semasa Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam (UBD) Ke-38 Tahun 2026 yang berlangsung pagi tadi, Pelita Brunei telah berkesempatan membuat temu bual bersama beberapa graduan yang memperoleh ijazah dalam bidang masing-masing selepas selesai majlis berkenaan.

Salah seorang graduan, Awang Haji Abdur Rasyid bin Awang Hamdani, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Bidang Ekonomi Digital melalui Centre of Lifelong Learning (C3L), UBD berkongsi perjalanan beliau dalam bidang pengajian.

Dalam perkongsiannya, Awang Haji Abdur Rasyid membuktikan bahawa komitmen terhadap pembelajaran tidak semestinya berakhir selepas seseorang memasuki alam pekerjaan.

Beliau yang bertugas sepenuh masa sebagai Pengurus Kesihatan dan Keselamatan & Pengurus Pembangunan Bisnes dalam industri pemeriksaan dan jaminan teknikal seterusnya menjelaskan memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi adalah sebagai salah satu usaha untuk menambah dan meningkatkan ilmu pengetahuan dan membuktikan bahawa proses pembelajaran dan mengecapi kejayaan boleh dicapai walaupun sudah mempunyai kerjaya.

"Saya percaya dalam dunia yang semakin digital, ilmu perlu sentiasa dipertingkatkan agar kita mampu menyumbang dengan lebih baik kepada organisasi dan negara," katanya.

Lebih bermakna, Awang Haji Abdur Rasyid berjaya menamatkan pengajian selepas enam tahun sebagai pelajar sambilan, sambil mengimbangi tuntutan kerjaya, keluarga dan komitmen akademik, termasuk melalui tempoh pandemik COVID-19.

Cabaran terbesar yang beliau hadapi ialah pengurusan masa. Selepas waktu bekerja, beliau masih perlu menghadiri kelas, termasuk melakukan perjalanan yang agak jauh, iaitu dari Daerah Belait, menyiapkan tugasan serta memastikan tanggungjawab sebagai suami, bapa dan ahli keluarga tidak diabaikan.

Disiplin, perancangan yang baik dan sokongan keluarga menjadi antara tunjang kekuatan utama beliau untuk terus bertahan. Pada masa yang sama, sentiasa meletakkan kebergantungan kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui doa, kesabaran dan tawakal.

Pengajian dalam bidang Ekonomi Digital turut memberikan beliau pengetahuan berkaitan teknologi digital, data, inovasi dan transformasi digital yang dapat digunakan untuk meningkatkan kecekapan organisasi serta membantu membuat keputusan yang lebih baik. Kajian beliau pula memberi tumpuan kepada tabiat pemakanan dan kesejahteraan dalam kalangan pelajar universiti di Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan melihat hubungan antara gaya hidup, pemakanan, prestasi akademik dan kesejahteraan.

Bagi Awang Haji Abdur Rasyid, ijazah yang diterima bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi menjadi simbol kesabaran, pengorbanan dan istiqamah sepanjang enam tahun perjalanan.

Sementara itu kisah Awangku Muhd. Arif Hafizuddin bin Pengiran Haji Zulkarnain, 23 tahun, graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam pengkhususan Pengajian Bahasa Inggeris pula memperlihatkan bagaimana seseorang mampu bangkit daripada kemerosotan prestasi akademik dan kembali mengejar sasaran yang diimpikan.

Beliau memilih untuk melanjutkan pengajian di UBD kerana terdorong untuk memperoleh segulung ijazah sebagai salah satu langkah mencapai matlamat masa depan, selain mempunyai minat yang mendalam terhadap pembelajaran.

Antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajiannya ialah peluang menyertai AUN-Thailand Summer Camp 2024 selama dua minggu sebagai wakil UBD. Program berkenaan memberinya peluang berkenalan dan berinteraksi dengan pelajar dari negara-negara ASEAN, selain bekerjasama dalam pelbagai bengkel serta menyertai aktiviti kebudayaan masyarakat Thailand.

Namun, perjalanan akademiknya tidak sentiasa berjalan lancar. Ketika berada di tahun kedua, prestasi akademiknya menurun akibat kurangnya tumpuan dan komitmen terhadap pelajaran. Beliau kemudian menyedari bahawa jika tidak mengambil tindakan untuk memperbaiki prestasi, pencapaian akademiknya akan semakin jauh daripada sasaran.

Kesedaran itu telah menjadi titik perubahan, apabila beliau bangkit di tahun akhir pengajian. Beliau mengambil keputusan untuk berusaha dengan lebih gigih, meluangkan lebih banyak masa untuk belajar dan menyiapkan tugasan. Hasilnya, usaha berkenaan membuahkan kejayaan apabila berjaya mencapai sasaran akademik yang ditetapkan.

Selain bidang akademik, Awangku Muhd. Arif Hafizuddin turut memberi perhatian kepada keseimbangan kehidupan dengan membahagikan masa antara pengajian dan waktu lapang. Baginya, berehat bukan bermaksud membuang masa, sebaliknya merupakan satu keperluan untuk mengecas semula tenaga agar dapat belajar dengan lebih berkesan.

Dalam Pengajian Bahasa Inggeris pula, beliau bukan sahaja mempelajari penggunaan bahasa dalam konteks akademik dan komunikasi harian, tetapi turut mendalami bagaimana bahasa dibentuk oleh norma dan amalan budaya.

Awangku Muhd. Arif Hafizuddin turut melihat fenomena bahasa Inggeris NBD, termasuk kecenderungan masyarakat untuk bertukar kod antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ketika berkomunikasi, sebagai satu aspek linguistik yang penting untuk dikaji dan dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti serta budaya NBD.

Manakala Dayang Lew Yan Yan @ Vanessa, graduan dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) dan Robotik dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Digital (BDSci.) pula menjelaskan, perjalanan menggenggam segulung ijazah bermula daripada minat terhadap teknologi serta keinginan untuk memahami bagaimana teknologi boleh digunakan bagi menyelesaikan masalah kompleks dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Jelasnya lagi, bidang Sains Digital dipilih kerana ia menggabungkan minat terhadap teknologi, penyelesaian masalah dan inovasi dalam satu bidang yang sentiasa berkembang. Antara pengalaman paling bermakna ialah peluang mengunjungi beberapa negara seperti Jepun, Republik Singapura dan Hong Kong melalui pelbagai program yang disokong UBD.

Pengalaman berkenaan katanya, bukan sahaja memberikan pendedahan di luar bilik kuliah, malah membantu membina kemahiran kepimpinan, komunikasi dan berdikari. Berinteraksi dengan individu daripada pelbagai latar belakang juga mengubah caranya melihat dunia, di samping mengajarnya supaya lebih terbuka, mudah menyesuaikan diri dan yakin terhadap kemampuan sendiri.

Namun tambahnya lagi, cabaran terbesar yang dihadapi ialah keluar daripada zon selesa dan membina keyakinan diri, khususnya dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain. Sebagai seorang yang agak pendiam, beliau pada awalnya sering takut untuk bersuara atau mengambil peluang kerana bimbang melakukan kesilapan. Bagaimanapun, penglibatan dalam pelbagai program, aktiviti persatuan, kerja berkumpulan dan pengalaman berada dalam persekitaran baharu perlahan-lahan membantunya menjadi lebih berani.

Dalam bidang AI pula, Dayang Lew Yan Yan @ Vanessa melihat perkembangan teknologi yang begitu pesat sebagai satu cabaran dan peluang. AI kini semakin digunakan dalam pelbagai bidang seperti kesihatan, pendidikan, perniagaan dan penyelidikan.

Sementara projek tesisnya memberi tumpuan kepada penggunaan AI untuk membuat ramalan autisme menggunakan imbasan otak, satu bidang yang dipilih kerana potensi manfaatnya terhadap bidang kesihatan dan masyarakat.

Berkongsi mengenai cabaran, Dayang Lew Yan Yan @ Vanessa menjelaskan antara cabaran utama ialah kekurangan data bagi menjalankan kajian secara lebih menyeluruh. Namun, pengalaman berkenaan mengajarnya bahawa penyelidikan tidak semestinya berjalan seperti yang dirancang dan seseorang perlu bersedia mencari pendekatan lain bagi mengatasi batasan yang ada.

Pengalaman itu ujarnya lagi, turut menyemarakkan minat untuk meneruskan penyelidikan dan bercadang melanjutkan pengajian ke peringkat PhD bagi meneroka bidang berkenaan dengan lebih mendalam.