Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Jumaat, 27 November. - Momentum lima kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super Malaysia Musim 2026/2027 menjadi suntikan semangat buat pasukan DPMM FC untuk terus mengorak langkah memburu kedudukan lebih tinggi di persada liga, sekali gus memperkukuh kedudukan dalam kelompok empat teratas setakat ini.
Beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, malam tadi, DPMM FC sekali lagi membuktikan keupayaan serta konsistensi pasukan apabila berjaya meraih tiga mata penuh dalam aksi perlawanan kelapan Liga Super Malaysia, sekali gus menundukkan Kelantan Red Warrior FC (Kelantan RW FC) dengan keputusan 5 - 0.
Kemenangan tersebut bukan sahaja memperlihatkan prestasi DPMM FC yang semakin meningkat, malah menjadi petanda positif dalam usaha pasukan untuk terus mengejar kedudukan di puncak liga, dengan setiap perlawanan kini membawa kepentingan besar dalam menentukan perjalanan kempen musim ini.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri di JPM; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri turut menyemarakkan suasana perlawanan di stadium negara di sini.
Menjunjung keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan paduka-paduka adinda, di sini, ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
DPMM FC tidak mensia-siakan peluang terus merembat gol pertama pada awal perlawanan menerusi Jordan David Murray di minit ke-7 dan terus mematahkan semangat dengan menambah satu lagi gol kurang tujuh minit kemudian menerusi sepakan jauh Ketua Pasukan, Muhammad Azwan Ali Rahman yang begitu padu sehingga membolos penjaga gawang Kelantan RW FC.
Berikutan handball oleh pemain Kelantan RW FC, Iskandar Shah Mohd. Jamil Kinin dan diberikan kad merah, memberikan kelebihan DPMM FC menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti daripada Muhammad Hakeme Yazid Said pada minit ke-32.
Selang empat minit kemudian, penyerang DPMM FC, Dalberto Luan Belo tanpa melengahkan masa terus menghadiahkan gol keempat perlawanan dengan memanfaatkan pasukan lawan yang kurang seorang pemain.
Petanda baik pemulaan babak kedua, Dalberto Luan Belo menambah satu lagi gol buat DPMM FC pada minit ke-47 dan kedudukan 5 - 0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sorakan dan sokongan padu para penyokong yang memenuhi stadium turut menjadi pembakar semangat kepada para pemain DPMM FC untuk terus tampil bersemangat, menguasai permainan serta mempertahankan momentum kemenangan di gelanggang sendiri.
Semasa Sidang Media selepas perlawanan, Jurulatih DPMM FC, James Reynolds McAllister antara lain merumuskan prestasi anak buahnya kali ini dengan banyak mendominasi gol pada babak pertama dan jangkaan untuk cuba mendapatkan lebih gol sehingga 7 ke 8 akan tetapi kemenangan ini memintas kedudukan ketiga tangga teratas liga.
Mengenai dengan peningkatan, James Reynolds McAllister kejayaan yang dicapai itu akan membuatkan anak buahnya terus belajar dan menjadi lebih kuat sebagai satu kerja berpasukan dan itu adalah satu prestasi pasukan yang sebenar dan terus meningkatkan prestasi persembahan dan perkembangan setiap masa dalam sesi latihan yang giat dijalankan.
Jurulatih Kelantan RW FC, Irfan Bakti Abu Salim mengakui kekurangan seorang pemain sedikit sebanyak menjejaskan prestasi permainan anak buahnya dan banyak memberi peluang kepada DPMM FC namun pasukannya dapat memperbaiki permainan di separuh masa kedua.
Lima kemenangan berturut-turut kini menjadi landasan penting buat DPMM FC untuk terus mencabar kedudukan teratas liga, dengan harapan momentum positif itu dapat dikekalkan dalam aksi-aksi bagi perlawanan seterusnya terutama sekali akan menentang pasukan Selangor FC antara pencabar tiga teratas liga ketika ini.