Menggalakkan usahawan tempatan dalam pertumbuhan ekonomi

28 Nov 2026 - 6:22am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Alishahrin Haji Mumin

BELAIT, Jumaat, 27 November. - Perusahaan tempatan di Daerah Belait kini berpeluang memperluas capaian kepada pelanggan baharu serta mengembangkan pasaran masing-masing apabila Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) buat julung kalinya membawa Festival Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Brunei ke daerah berkenaan.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen BEDB dalam memperluas peluang pembangunan perusahaan ke seluruh negara, memperkukuh keusahawanan tempatan serta menggalakkan penyertaan yang lebih meluas dalam pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam (NBD).

Majlis perasmian festival berkenaan telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Industri), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), Awang Mohammad Harris bin Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim selaku tetamu kehormat, di majlis yang berlangsung di V Plaza Hotel, hari ini.

Berlangsung selama tiga hari, mulai 27 hingga 29 November 2026, bertempat di Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait, festival tersebut menghimpunkan lebih 70 buah perniagaan dan organisasi menerusi lebih 80 ruang pameran.

Festival berkenaan menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan tempatan, termasuk makanan dan minuman, fesyen dan aksesori, produk kecantikan dan kesejahteraan, serta jenama dan perkhidmatan kreatif.

Festival berkenaan juga menyediakan platform kepada para perusahaan dari seluruh negara untuk menembusi segmen pelanggan baharu serta meneroka peluang perniagaan di daerah yang berbeza.

Bagi perusahaan yang berpangkalan di Daerah Belait, festival tersebut menawarkan peluang untuk memperluas pendedahan pasaran melangkaui kelompok pelanggan yang sedia ada.

Dalam masa yang sama, perusahaan dari daerah lain juga berpeluang memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada para pengguna di Daerah Belait.

Selain membuka peluang jualan secara langsung, festival ini turut menggalakkan interaksi antara para pengusaha dengan pengguna, sekali gus membolehkan usahawan memperoleh pemahaman yang lebih mendalam mengenai cita rasa pasaran, mendapatkan maklum balas serta mengenal pasti peluang untuk menambah baik penawaran produk dan perkhidmatan mereka.

Dalam ucapan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, Awang Abdurahman Abdul Aziz, menegaskan bahawa nilai penganjuran festival berkenaan bukan hanya tertumpu kepada peluang jualan dalam jangka masa pendek.

"Membawa Festival PMKS Brunei ke Daerah Belait merupakan satu langkah penting dalam memastikan peluang pembangunan perusahaan dapat diakses dengan lebih mudah oleh perniagaan di seluruh negara. Selain menyediakan platform pasaran bagi para usahawan, festival ini turut membuka ruang untuk memahami keperluan pelanggan, memperkukuh jaringan perniagaan serta meneroka pasaran baharu.

"Kami mahu PMKS melihat peluang yang ditawarkan bukan hanya sepanjang festival ini, malah menjadikannya sebagai dorongan untuk terus menambah baik produk dan perkhidmatan, memperkukuh keupayaan perniagaan serta membina keyakinan untuk menembusi pasaran pelanggan baharu.

"BEDB, bersama agensi-agensi rakan kerjasama, akan terus komited dalam menyokong perusahaan tempatan agar menjadi lebih berdaya saing, berdaya tahan dan mampan," jelasnya.

Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2019, Festival PMKS Brunei telah berkembang menjadi salah satu inisiatif unggul BEDB dalam menyokong pertumbuhan PMKS dengan menyediakan platform bagi mengetengahkan produk dan perkhidmatan tempatan, berinteraksi dengan para pengguna serta meneroka peluang pasaran baharu.

Sehingga kini, festival berkenaan telah menarik lebih 140,000 pengunjung, menghimpunkan lebih 1,000 pempamer dan menjana jumlah jualan terkumpul melebihi BND1 juta.

Pencapaian ini mencerminkan sumbangan festival dalam meningkatkan pendedahan perniagaan, memperluas akses pasaran serta merangsang pertumbuhan komersial perusahaan tempatan.

Penganjuran Edisi Belait merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh BEDB dalam memajukan kepelbagaian ekonomi melalui pembangunan perusahaan, pemudahcaraan pelaburan serta penyediaan infrastruktur perindustrian.

Dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait dan Revitalise Belait, sebuah pertubuhan berasaskan komuniti yang komited dalam menyokong usaha menggiatkan semula Daerah Belait, festival ini juga mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan serta meningkatkan aktiviti ekonomi di daerah berkenaan.

Menerusi sokongan dalam bidang pembangunan kapasiti, pembiayaan dan akses pasaran, BEDB membantu perusahaan tempatan untuk berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan, menembusi pasaran baharu serta menyumbang secara langsung kepada usaha mempelbagaikan ekonomi negara.

Penganjuran festival ini turut direalisasikan dengan sokongan para penaja. Festival PMKS Brunei 2026 : Edisi Belait dibukakan kepada orang ramai mulai pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.