Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
TUTONG, Sabtu, 15 Ogos. - Majlis Dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi di Daerah Tutong telah diadakan hari ini bertempat di Masjid Kampung Sinaut.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Kesejahteraan Masyarakat), KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut. Turut hadir di majlis tersebut, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai.
Juga hadir, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid dan Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.
Majlis terlebih dahulu dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti bacaan Dikir Maulud serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Majlis diakhiri dengan bacaan doa agar Negara Brunei Darussalam terselamat daripada bala dan segala penyakit.
Adapun objektif majlis diadakan adalah bagi sama-sama menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam dan memeriahkan lagi suasana Sambutan Maulidur Rasul serta menggalakkan warga kementerian untuk terus berselawat dan memuji junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.