Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
HANOI, REPUBLIK SOSIALIS VIET NAM, Rabu, 28 Oktober. - Menteri Pendidikan, Negara Brunei Darussalam (NBD), Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Presiden Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) bagi tahun 2025-2027, telah menamatkan lawatan kerja ke Bandar Ho Chi Minh dan Hanoi, Republik Sosialis Viet Nam, yang diadakan pada 26 hingga 27 Oktober 2026.
Sebagai Presiden Majlis SEAMEO, Yang Berhormat Menteri Pendidikan NBD memegang peranan penting dalam memperkukuh kerjasama antara Negara-Negara Anggota SEAMEO melalui kunjungan hormat kepada Ahli-ahli Majlis SEAMEO serta lawatan rasmi ke Pusat-pusat Serantau dan Rangkaian SEAMEO.
Program lawatan di Bandar Ho Chi Minh dimulakan dengan lawatan kerja ke Pusat Latihan Serantau SEAMEO (RETRAC). Dalam lawatan kerja berkenaan, Yang Berhormat mendengarkan taklimat berhubung fungsi utama dan inisiatif Pusat Serantau berkenaan dalam bidang kepimpinan dan pengurusan pendidikan, pembangunan profesional guru, penyelidikan dan latihan, yang bertujuan untuk memperkukuh kapasiti pendidikan di seluruh Asia Tenggara.
Program lawatan diteruskan dengan taklimat oleh Pusat Serantau SEAMEO bagi Pembelajaran Sepanjang Hayat (CELLL), yang mengetengahkan usaha Pusat Serantau berkenaan dalam mempromosi pembelajaran sepanjang hayat melalui penyelidikan, latihan, pembangunan dasar dan kerjasama serantau, dengan penekanan terhadap peluasan peluang pembelajaran inklusif bagi individu pada setiap peringkat kehidupan.
Yang Berhormat turut mengadakan lawatan ke Binh Chanh Inclusive Education Development Support Center, di mana Yang Berhormat menerima penerangan mengenai latar belakang, pencapaian dan program pendidikan pusat berkenaan, termasuk amalan pengajaran dan pembelajarannya.
Lawatan kerja diteruskan di Hanoi, dan Yang Berhormat mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan dan Latihan Viet Nam, Tuan Yang Terutama Profesor Madya Dr. Hoang Minh Son, bagi membincangkan kerjasama dua hala dan memperkukuh lagi hubungan pendidikan antara NBD dan Republik Sosialis Viet Nam.
Tuan Yang Terutama Profesor Madya Dr. Hoang Minh Son turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan, NBD, atas keputusan PISA yang cemerlang, dengan peningkatan dalam ketiga-tiga domain, yang meletakkan NBD antara tiga teratas dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mengambil bahagian dalam PISA.
Tuan Yang Terutama seterusnya menyatakan hasrat untuk meningkatkan kerjasama dengan NBD, khususnya dengan mengaktifkan semula Kumpulan Kerja Bersama antara kedua-dua kementerian, bagi mewujudkan inisiatif bersama, berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik serta belajar daripada pengalaman masing-masing.
Sepanjang lawatan kerja berkenaan, Yang Berhormat Menteri Pendidikan diiringi oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, selaku Pengerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan SEAMEO bagi penggal 2024-2026, pegawai-pegawai dari Kedutaan NBD ke Republik Sosialis Viet Nam, serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, NBD.