Majlis Berselawat sempena pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah

16 Og 2026 - 7:43am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. - Suasana penuh keberkatan menyelubungi Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) dengan alunan selawat dan dikir sempena Majlis Berselawat bagi menandakan pembukaan Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sama-sama mengimarahkan lagi bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, pagi tadi.

Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dibukakan untuk kunjungan orang ramai selama sebulan, bermula 15 Ogos hingga 12 September 2026.

Hadir selaku tetamu-tetamu khas ke Majlis Berselawat tersebut ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; dan Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu.

Juga hadir selaku tetamu-tetamu khas, Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid serta Ahli-ahli Urus Setia Lembaga Penasihat BKISHHB.

Kehadiran para tetamu khas dialu-alukan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, merangkap Pengarah BKISHHB, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad.

Atur cara dimulakan dengan Sayyidul Istighfar oleh Guru Ugama Tingkat 2, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Awang Muhammad Ayub bin Ali, diikuti dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Nazir Khas, JPI, Awang Haji Abdullah bin Haji Sahat dan seterusnya diikuti dengan bacaan selawat dan dikir beramai-ramai dipimpin oleh pegawai-pegawai dan kakitangan JPI.

Majlis tahunan ini merupakan antara usaha berterusan BKISHHB dalam menyemarakkan bulan kelahiran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping memberi peluang kepada orang ramai untuk mendekati, menghayati dan menghargai salah satu khazanah warisan Islam yang berharga serta dipelihara di institusi berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk mengambil kesempatan berkunjung ke Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai satu bentuk amalan tabaruk, di samping sentiasa memelihara adab dan menunjukkan penuh rasa hormat ketika berada di dalam bilik berkenaan.

Penganjuran majlis tahunan ini mencerminkan komitmen berterusan BKISHHB dalam menyemarakkan bulan Rabiulawal, khususnya dalam memupuk rasa kasih, kecintaan dan penghormatan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping mendekatkan warisan Islam kepada orang ramai melalui pengalaman pendidikan, kerohanian dan kebudayaan yang bermakna.

Selain itu, BKISHHB juga mempelawa kumpulan lelaki atau perempuan dari kementerian-kementerian, masjid-masjid, persatuan-persatuan, institusi-institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat swasta untuk mengikuti Sesi Berselawat dan Bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sepanjang bulan Rabiulawal 1448 Hijrah di Bilik Rambut Mulia Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermula 15 Ogos hingga 12 September 2026 kecuali Jumaat dan Ahad.

Untuk mendaftar dan membuat tempahan slot, orang ramai boleh menghubungi talian hotline +673 8153264 dan ikuti Instagram rasmi BKISHHB @balaikhazanah.bn atau layari laman sesawang di https://www.bkishhb.gov.bn/.