MoU mencerminkan komitmen kerjasama strategik

18 Okt 2026 - 7:27am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Azmah Haji Ahad

BELAIT, Sabtu, 17 Oktober. - Setia Edge Sdn. Bhd. hari ini mengumumkan penajaan utama rasmi bagi Perlumbaan Criterium dan Litar 2026 yang akan berlangsung untuk Edisi Lumut dan Kuala Belait pada 18 Oktober 2026. Perlumbaan berkenaan anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pekan Kuala Belait (KB) 'B' dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait.

Sehubungan itu, satu Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPK Pekan KB 'B' dengan Jabatan Daerah Belait dan Setia Edge Sdn. Bhd. berlangsung di Dewan Jabatan Daerah Belait, di sini.

Menandatangani bagi pihak MPK Pekan KB 'B' ialah Ketua Kampung Pekan KB 'B', Awang Mohammad Sufrizal bin Haji Hamdan; manakala Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Faiq bin Haji Rani mewakili Jabatan Daerah Belait; dan Pengarah Urusan Setia Edge Sdn. Bhd., diwakili oleh Dayang Atiqah binti Haji Shufri.

Dengan termeterainya MoU berkenaan mencerminkan komitmen kerjasama strategik terhadap pembangunan setempat, mewujudkan platform bersepadu di mana perusahaan swasta dan pemimpin kampung tempatan dapat menyelaraskan sumber secara langsung demi manfaat penduduk di seluruh Daerah Belait.

Dalam pada itu, Perlumbaan Criterium dan Litar diadakan dengan tujuan bagi mempromosikan gaya hidup sihat, di samping menjadi penghubung penting untuk mengukuhkan ikatan komuniti antara sektor korporat Brunei dan institusi akar umbi tempatan.

Perlumbaan tersebut akan menampilkan pelbagai kategori pertandingan yang direka untuk menarik minat penonton serta atlet dari rantau ini ke jalan raya di Lumut dan KB.