Siaran Akhbar dan Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Universiti
TUNGKU LINK, Isnin, 24 Ogos. - Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid dan Muslimah Masjid meneruskan Majlis Dikir Maulud, baru-baru ini, sempena memperingati Hari Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Majlis Dikir Maulud tersebut serikan lagi dengan kehadiran Ketua-ketua Kampung, Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba Kawasan 6, Awang Joefry bin Haji Mohammad Yassin; Ketua Kampung RPN Kampung Rimba Kawasan 2, Awang Haji Muhammad Nur Ihsan bin Haji Mat Jali dan Ketua Kampung RPN Kampung Rimba Kawasan 4, Awang Haji Julkepli bin Haji Ibrahim.
Majlis juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran AJKT Masjid, Muslimah Masjid, penduduk RPN Kampung Rimba, Takmir Masjid, Muslimah Masjid dan Jemaah masjid bagi sama-sama mengimarahkan Masjid. Dikir Maulud ini diadakan selama 12 malam berturut-turut sehingga 24 Ogos 2026.
Bulan Rabiulawal adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia, bulan yang penuh keberkatan kerana di dalamnya terdapat hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Berselawat dan memuji-muji Rasulullah merupakan antara amalan yang paling mudah tetapi paling besar ganjarannya.
Dengan berselawat dapat menzahirkan kecintaan dan penghormatan kita kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di samping memperingati perjuangan dan mencontohi akhlak Rasulullah.
Selain mengimarah dan menghidupkan masjid pada malam-malam sebelum tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, usaha ini diharapkan akan dapat memupuk dan mengeratkan lagi ukhuwah Islamiah dalam kalangan masyarakat di semua peringkat umur dan menanamkan nilai keislaman dalam kehidupan seharian.
Diharap ia juga akan dapat melatih masyarakat untuk sentiasa mengingati tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.