Memanah jadi aktiviti riadah menarik, bermanfaat

14 Okt 2026 - 7:48am

Siaran Akhbar dan Foto : Ar-Rafi Archery Sports Academy Centre

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Pertandingan Memanah bagi Guru Sekolah Kali Ke-2 telah diadakan baru-baru ini anjuran Ar-Rafi Archery Sports Academy Centre (PASMA) dengan kerjasama Yunus Emre Institute (YEE) dan sokongan Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK).

Juara bagi Kategori Lelaki disandang oleh Awang Md. Fadhillah bin Haji Zaini dengan mengutip sebanyak 102 pts; manakala naib juara pula milik Awang Hanafi Supian dengan mengutip 62 pts; sementara tempat ketiga ialah Awang Md. Asri bin Haji Husin dengan mengutip 44 pts.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang Kategori Lelaki, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Hamit Ersoy.

Manakala bagi Kategori Perempuan, juara disandang oleh Dayang Humaidah binti Dato Paduka Haji Md. Nur Lubis dengan mengutip 57 pts; sementara naib juara ialah Dayang Wahidatu Ashriha binti Awang Haji Ya’akub dengan mengutip 44 pts; manakala tempat ketiga milik Dayang Nur Shahidah binti Dato Paduka Haji Sulaiman dengan mengutip 40 pts.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang Kategori Perempuan disempurnakan oleh Pengarah YEE, Madam Lale Ersoy.

Pertandingan Memanah berkenaan telah berjaya menarik penyertaan para guru sekolah di semua daerah.

Pertandingan dimulai dengan Majlis Perasmian, diikuti ucapan khas dari tetamu kehormat majlis.

Acara yang cukup gemilang berkenaan diceriakan lagi dengan kedatangan barisan Jawatankuasa Tertinggi dan beberapa tetamu jemputan.

Melalui temu bual bersama beberapa guru yang mengikuti pertandingan, mereka berharap ia akan diteruskan sebagai aktiviti berterusan yang cukup menarik sebagai satu aktiviti riadah yang mempunyai kebaikan.