Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohammad Hasif Matzin
JERUDONG, Sabtu, 22 Ogos. - Jerudong Park Medical Centre (JPMC) hari ini mengalu-alukan kunjungan hormat isteri Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berbahagia Dato' Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail ke JPMC.
Kunjungan berkenaan mencerminkan hubungan kerjasama yang telah lama terjalin dalam bidang penjagaan kesihatan, di samping memperkukuh hubungan dan kerjasama berterusan antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Malaysia, khususnya dalam bidang kesihatan.
Selain menghimpunkan wakil-wakil daripada Kerajaan Malaysia, JPMC dan Kementerian Kesihatan, kunjungan berkenaan menyediakan peluang bagi mengeratkan hubungan serta bertukar pandangan mengenai perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus, pemulihan serta penerapan teknologi inovatif dalam penjagaan pesakit.
Ketibaan Yang Amat Berbahagia Dato' Seri Dr. Wan Azizah dan rombongan dialu-alukan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar juga selaku Pengarah Eksekutif JPMC; dan Timbalan Menteri Kewangan, Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Timbalan Pengerusi JPMC.
Turut mengiringi Yang Amat Berbahagia, isteri Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili.
Atur cara kunjungan berkenaan merangkumi penerangan mengenai perkhidmatan dan keupayaan penjagaan kesihatan khusus yang disediakan oleh JPMC, dengan memberi tumpuan kepada pendekatan pemulihan serta penjagaan berasaskan teknologi.
Sementara itu, pembentangan korporat disampaikan oleh Ketua Pegawai Kewangan JPMC, Bun Pei Ling, yang memberikan gambaran mengenai peranan JPMC dalam landskap penjagaan kesihatan di NBD.
Yang Amat Berbahagia berserta rombongan turut diberi penerangan mengenai pelbagai perkhidmatan kepakaran yang disediakan oleh JPMC, diikuti dengan sesi perbincangan bersama wakil-wakil daripada JPMC dan Kementerian Kesihatan.
Kunjungan berkenaan turut mengetengahkan Perkhidmatan Perubatan Pakar JPMC, khususnya kemudahan pemulihan serta penerapan teknologi dalam penjagaan pesakit.
Rombongan kemudiannya turut berkesempatan melawat beberapa kemudahan pemulihan, termasuk Rehabilitation Garden, Hydropool dan Rehabilitation Ward, serta fasiliti robotik yang memperlihatkan keupayaan JPMC dalam menyokong proses pemulihan, rawatan susulan dan meningkatkan hasil penjagaan pesakit.
Acara berkenaan turut diselajurkan dengan penandatanganan lembaran kenangan serta penyampaian cenderamata penghargaan kepada Yang Amat Berbahagia sebagai tanda kenangan sempena kunjungan Yang Amat Berbahagia Dato' Seri Dr. Wan Azizah ke JPMC, di samping mencerminkan kepentingan hubungan dan kerjasama berterusan antara NBD dan Malaysia dalam sektor penjagaan kesihatan.
Kunjungan hormat berkenaan antara lain menggariskan kepentingan meneruskan kerjasama serta pertukaran kepakaran profesional antara NBD dan Malaysia, khususnya dalam bidang perkhidmatan perubatan kepakaran, pemulihan dan inovasi penjagaan kesihatan.
Kerjasama berkenaan turut memperkukuh komitmen bersama kedua-dua buah negara dalam mempertingkatkan kerjasama kesihatan serantau serta memajukan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berfokuskan kepada keperluan pesakit.
Turut hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud serta Ahli-ahli Lembaga JPMC, pihak pengurusan kanan dan pegawai-pegawai dari JPMC serta Kementerian Kesihatan.