Memupuk masyarakat peka terhadap keselamatan siber

12 Og 2026 - 6:14am

Siaran Akhbar dan Foto : Cyber Security Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Cyber Security Brunei (CSB) melalui Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT) baru-baru ini menganjurkan Majlis Penyampaian Hadiah bagi menghargai sumbangan tujuh pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (BSc) dalam Media Digital dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) dalam mempromosi kesedaran keselamatan siber melalui kandungan video kreatif dan pengalaman interaktif.

Majlis dimulakan dengan tayangan semua penyertaan yang mengetengahkan kreativiti, kemahiran teknikal serta pemahaman para peserta terhadap cabaran keselamatan siber masa kini.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian anugerah oleh Ketua BruCERT di CSB, Ahmad Mu'azzam Lim Abdullah.

Para pelajar yang memenangi anugerah menerima hadiah wang tunai dan sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang mereka.

Dalam Kategori Video Kesedaran Keselamatan Siber, para pelajar diiktiraf kerana berjaya menyampaikan amalan keselamatan siber yang penting kepada orang ramai secara berkesan.

Pemenang tempat pertama disandang oleh Awang Mohammad Bazil Wajdi bin Haji Razali menerusi video ‘Saving Credit Card Details Online’, manakala tempat kedua diraih oleh Dayang Nur 'Amirah Syahmina binti Alim menerusi video ‘How to Stay Safe with AI Chatbot’, sementara tempat ketiga dimenangi oleh Dayang Nuraida Natashya binti Mohamad Shahrom menerusi video ‘Why Should You Backup’.

Anugerah sagu hati turut disampaikan kepada Dayang Nur Fateen binti Haji Alias bagi penyertaan video beliau, ‘Intimate Sharing’.

Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah bagi Kategori Pengalaman Interaktif Keselamatan Siber, yang mencabar para peserta untuk melibatkan khalayak melalui penceritaan interaktif dan animasi.

Dayang Annie Dhameerah binti Haji Anuar meraih tempat pertama menerusi projeknya, ‘Vishing’; diikuti oleh Awang Muhammad Ifdhatul Ilahi bin Zaini di tempat kedua menerusi projek ‘Smart TV Cybersecurity Awareness’, manakala Dayang Siti Bazilah Syazwina binti Mohammad Tonny pula menduduki tempat ketiga menerusi projek ‘How to Tell if a Link is Safe’.

Acara berkenaan diakhiri dengan sesi bergambar berkumpulan bagi meraikan kerjasama antara CSB dan UTB serta komitmen bersama kedua-dua belah pihak dalam memupuk masyarakat yang lebih peka terhadap keselamatan siber.