Menghargai kerjasama dalam menjayakan Klinik Bola Sepak

19 Og 2026 - 8:09am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 18 Ogos. - Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam (NBD) hari ini menganjurkan Majlis Jamuan Tengah Hari bagi menandakan berakhirnya Piala Dunia FIFA 2026 dan meraikan peranan Kanada sebagai tuan rumah bersama kejohanan tersebut.

Majlis yang diadakan di Bilik Padian, The Brunei Hotel tersebut menghimpunkan wakil-wakil dari Kementerian Pendidikan dan diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal yang juga hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Acara itu juga memberi peluang untuk mengiktiraf kerjasama yang berjaya antara Suruhanjaya Tinggi Kanada di NBD dan Kementerian Pendidikan dalam menganjurkan dua Klinik Bola Sepak untuk lebih daripada 100 murid sekolah rendah di NBD.

Pada majlis itu juga, Suruhanjaya Tinggi Kanada di NBD merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkembangan Kurikulum dan Jabatan Sekolah-sekolah (JSS) atas sokongan mereka dalam menjayakan inisiatif tersebut.

Dianjurkan bersempena dengan Piala Dunia FIFA 2026, klinik-klinik tersebut menggunakan bola sepak sebagai platform untuk mendekati golongan muda, menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat serta memupuk semangat kerjasama, rasa hormat dan persahabatan melalui sukan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke NBD, Tuan Yang Terutama Dr. Tamer Mansy, menekankan keupayaan sukan dalam menghubungkan masyarakat merentasi sempadan.

"Piala Dunia FIFA mengingatkan kita bahawa sukan bukan sekadar mengenai pertandingan. Ia menyatukan orang ramai dan negara, mewujudkan pengalaman bersama, serta memberi inspirasi kepada golongan muda.

"Sebagai tuan rumah bersama kejohanan 2026 yang berbangga, Kanada berbesar hati untuk membawa sebahagian daripada semangat tersebut ke NBD dan berkongsinya dengan lebih daripada 100 murid muda," ujarnya. Tuan Yang Terutama Dr. Tamer Mansy juga melahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan atas kerjasama dan sokongan mereka.

"Kami berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan, khususnya Jabatan Perkembangan Kurikulum dan JSS, kerana bekerjasama dengan kami bagi menjayakan Klinik Bola Sepak ini. Kerjasama ini membolehkan kami menterjemahkan keterujaan Piala Dunia kepada satu pengalaman yang bermakna bagi golongan muda di NBD," tambah Tuan Yang Terutama lagi.

Menurut TYT, Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh Suruhanjaya Tinggi untuk memperkukuh hubungan antara rakyat Kanada dan NBD melalui pendidikan, penglibatan belia, sukan, dan pertukaran budaya.

Kanada menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia FIFA 2026 dengan Mexico dan Amerika Syarikat, di mana perlawanan diadakan di bandar-bandar tuan rumah Kanada iaitu Toronto dan Vancouver.