Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 Julai. - Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam dan Fakulti Perubatan, Universiti Kagawa, Jepun hari ini mengadakan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
Dokumen MoU berkenaan telah ditandatangani terlebih dahulu oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Md. Khalifah bin Pengiran Haji Ismail bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Dekan, Fakulti Perubatan, bagi pihak Universiti Kagawa, Jepun, Dr. Akira Nishiyama.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah tetamu kehormat, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif serta Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka.
MoU ini merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh lagi hubungan institusi dan kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan Fakulti Perubatan, Universiti Kagawa dalam bidang kesihatan, pendidikan perubatan, penyelidikan dan pertukaran profesional.
Kerjasama ini juga diharapkan kedua-dua pihak dapat merancang dan melaksanakan program bersama yang saling memberi manfaat, termasuk memperluas peluang pendidikan dan latihan, memajukan penyelidikan kolaboratif, menggalakkan perkongsian amalan terbaik serta memperkukuh pembangunan kapasiti tenaga kerja kesihatan.
Usaha ini diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan mutu pendidikan perubatan dan perkhidmatan kesihatan bagi manfaat kedua-dua pihak.
Melalui MoU ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka dan melaksanakan kerjasama dalam bidang-bidang iaitu Pertukaran ahli fakulti dan penyelidik; Pendidikan prasiswazah dan pascasiswazah; Pendidikan profesional berterusan; Pertukaran pelajar; Latihan klinikal; Kerjasama penyelidikan; Pertukaran pengetahuan dan kepakaran; dan aktiviti kerjasama lain yang dipersetujui bersama.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Md. Khalifah; pengarah-pengarah; pegawai-pegawai kanan dan warga Kementerian Kesihatan dan juga wakil-wakil Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam serta delegasi Universiti Kagawa yang diketuai oleh Naib Presiden Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kagawa, Profesor Kenji Wada, bersama pegawai-pegawai kanan dan ahli-ahli fakulti universiti berkenaan.