Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
ANGGEREK DESA, Sabtu, 22 Ogos. - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Brunei Darussalam (NCCIBD) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) pagi tadi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diperbaharui untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan meluaskan pertukaran komersial antara komuniti perniagaan kedua-dua negara.
Majlis penandatanganan berkenaan disaksikan oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Perdagangan), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Dr. Dayang Hajah May Fa'ezah binti Haji Ahmad Ariffin, selaku tetamu kehormat, bertempat di Dewan Utama, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Bangunan Rekaan dan Teknologi, Anggerek Desa, di sini.
MoU berkenaan ditandatangani bagi pihak dua dewan kebangsaan dan majlis perniagaan masing-masing - Majlis Perniagaan Brunei Darussalam-Malaysia (BDMBC) dan Majlis Perniagaan Malaysia-Brunei Darussalam (MBDBC).
Menandatangani bagi pihak Negara Brunei Darussalam (NBD) ialah Timbalan Presiden NCCIBD dan Pengerusi BDMBC, Awang Haji Musa bin Haji Adnin; dan Naib Presiden NCCIBD, Awang Haji Abdul Halim bin Haji Saim.
Manakala, menandatangani bagi pihak Malaysia ialah Presiden NCCIM, Norsyahrin Hamidon; dan Pengerusi MBDBC, Raja Dato' Sri Muflik Affandi Raja Khalid.
Di bawah memorandum yang diperbaharui, kedua-dua dewan berkenaan akan menggalakkan dan memudahkan aktiviti yang membangunkan kerjasama ekonomi dan mempromosikan pertukaran komersial antara syarikat di NBD dan Malaysia.
Ini termasuklah memudahkan perjanjian kerjasama komersial dan ekonomi antara syarikat yang berminat, bertukar maklumat mengenai perdagangan asing, peluang pengeluaran dan eksport, pelaburan dan trend pasaran, serta mengenai perundangan ekonomi dan komersial yang terpakai di setiap bidang kuasa.
Dewan-dewan juga akan membantu satu sama lain dalam menganjurkan dan menyokong penyertaan syarikat dalam pameran, pesta perdagangan dan aktiviti serupa di kedua-dua negara, dan akan menggalakkan pertukaran delegasi perdagangan dan misi perniagaan, menyediakan kemudahan yang diperlukan untuk membangunkan hubungan perdagangan antara dua komuniti perniagaan.
Pembaharuan memorandum ini mencerminkan persahabatan abadi antara NBD dan Malaysia, dan keyakinan komuniti perniagaan kita antara satu sama lain, jelas Timbalan Presiden NCCIBD dan Pengerusi BDMBC.
"Tugas kita sekarang adalah untuk mengubah rangka kerja ini kepada projek dan perkongsian konkrit yang mewujudkan peluang sebenar untuk syarikat di kedua-dua pihak," tambahnya.
Sementara itu, Norsyahrin Hamidon menjelaskan Malaysia dan NBD mempunyai hubungan ekonomi yang erat, dan masih banyak lagi yang boleh dilakukan bersama dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama perindustrian.
"Melalui Majlis Perniagaan Bersama dan dua cabang kebangsaannya, kami berhasrat untuk mendekatkan ahli-ahli kami dan memadankan keupayaan dengan peluang," ujarnya lagi.
Majlis penandatanganan berkenaan akan disusuli dengan majlis makan malam sambutan yang akan dihoskan pada 21 Ogos 2026 bagi delegasi Malaysia yang berkunjung.
Kedua-dua dewan kini akan bekerja melalui BDMBC dan MBDBC untuk membangunkan program kerjasama, termasuk misi perniagaan, penglibatan khusus sektor dan penyertaan dalam acara perdagangan di kedua-dua negara.