Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 Ogos. - Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan telah menjalankan Operasi Usai 189/2026 di kawasan Kampung Lambak pada 10 Ogos 2026, bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.
Pemeriksaan ke atas kegiatan bengkel membaiki kereta telah mendapati sebanyak enam kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan terhadap beberapa pekerja tempatan dan asing iaitu Bab 39(2) Majikan gagal membayar kerja lebih masa, Bab 44 Membuat pemotongan gaji yang bertentangan dengan Akta Pekerjaan, Penggal 278, Bab 64 Bekerja pada hari kelepasan awam, Bab 65 Pekerja bekerja melebihi jam yang ditetapkan, Bab 70 Majikan gagal memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan dan Bab 112(2) Melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing iaitu pekerja asing didapati melakukan pekerjaan tidak selaras dengan jawatan yang dibenarkan iaitu pekerja berjawatan buruh am melakukan pekerjaan sebagai pemandu. Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada BND1,000 bagi tiap-tiap kesalahan.
Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti majikan hendaklah membayar gaji kerja lebih masa jika pekerja bekerja melebihi 8 jam sehari atau bekerja melebihi 44 jam dalam seminggu, majikan hendaklah membuat pemotongan gaji yang selaras dengan kehendak undang-undang, jika pekerja bekerja pada hari kelepasan awam, majikan hendaklah membayar ganda atau mengganti cuti pada hari lain, pekerja-pekerja tidak boleh bekerja melebihi 8 jam sehari dan tidak boleh melebihi 12 jam sehari bagi pekerja syif serta tidak dibenarkan bekerja lebih masa melebihi dari 72 jam dalam sebulan, majikan hendaklah memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan dan memberikan pekerjaan kepada pekerja-pekerja di bawah jaminan selaras dengan jawatan yang dibenarkan oleh Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan.
Untuk makluman lebih lanjut, orang ramai bolehlah berhubung dengan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan di talian +673 2381848 (semasa waktu bekerja) atau +673 7298989 (di luar waktu bekerja).