Penyenaraian Tempat Kediaman akan berakhir 23 Ogos ini

16 Og 2026 - 5:17am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. - Penyenaraian Tempat Kediaman (Houselisting) yang dikendalikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) akan berakhir pada 23 Ogos 2026.

Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2026 dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-Undang Negara Brunei Darussalam.

JPES ingin memberikan jaminan kepada semua keluarga atau isi rumah terpilih yang mengambil bahagian dalam kajian ini bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

Menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu adalah menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak BND4,000.

Justeru, sokongan dan kerjasama semua keluarga / isi rumah terpilih semasa Penyenaraian Tempat Kediaman (Houselisting) adalah sangat diharapkan bagi sama-sama menjayakan kajian ini.

Sebarang pertanyaan mengenai KTK 2026 bolehlah dirujuk seperti berikut iaitu di talian dan WhatsApp, +673 7469844 (Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 7.45 pagi hingga 4.30 petang) atau melalui kiriman e-mel di alamat ‘labourforce.survey@jpes.gov.bn’ atau melalui laman sesawang, ‘www.deps.gov.bn’.